Saturday 20 April 2013

Panduan Melawan Hawa Nafsu

Petikan dari sebuah web..
http://harianislam.com/2013/03/05/panduan-melawan-hawa-nafsu/

lawan nafsu
Kata orang, api yang marak bermula dengan api yang kecil. Sekecil-kecil api, jika tidak dipadamkan secepat mungkin, akan membesar tanpa disedari. Ketika kecil, api itu amat mengasyikkan. Namun, apabila besar menjadi lawan.

Begitu juga dengan dosa kita. Setiap dosa yang besar bermula dengan dosa yang kecil ia bermula daripada hawa nafsu yang kita tidak mampu lawan kerana termakan hasutan syaitan. Dosa kecil yang tidak disesali dengan taubat nasuha akan meninggalkan titik hitam di dalam hati. Kemudian jika dibiarkan lagi akan memenuhi seluruh hati berkenaan. Jika manusia dikuasai oleh hawa nafsu maka bergembiralah syaitan kerana berjaya menewaskan anak adam.

Panduan Melawan Hawa Nafsu

  1. Takut kepada azab Allah. Apabila anda ingin melakukan maksiat, ingatlah azab neraka yang sangat panas. Sedangkan api di dunia pun kita tidak sanggup untuk merasainya. Bagaimana pula dengan neraka! Setiap kali hawa nafsu anda mengajak kepada maksiat, ingatlah azab neraka! Nescaya anda akan dapat mengalahkan hawa nafsu anda dengan izin Allah.

  2. Mengingati mati. Ketika nafsu anda membara,ingatlah mati. Jika anda mati dalam keadaan melakukan maksiat, adakah anda akan masuk syurga? Ingatlah mati selalu.

  3. Memohon hidayah daripada Allah. Dalam apa jua yang kita lakukan sentiasa dekatkan diri dengan Allah. Jangan sesekali kita lupakan dia dan malangnya, ramai diantara kita yang ketika ditimpa musibah baru kita mengadu kepada Allah.

  4. Setiap kali anda terasa ingin melakukan maksiat, cepat-cepatlah beristighfar dan ingat dengan azab Allah s.w.t. Jangan sesekali kita menghampiri maksiat sesungguhnya ia amat dikeji oleh Allah.

  5. Cari kawan-kawan yang berpegang kuat dengan Islam dan jangan berkawan dengan golongan syaitan yang bertopengkan manusia yang akan menambahkan lagi hawa nafsu anda. Kawan anda, mencirikan siapa diri anda. Jadi pilih kawan yang boleh membimbing anda ke jalan Allah s.w.t.

  6. Cintakan majlis-majlis ilmu dan kuliah agama di masjid. Dengan mencintai dan rajin ke kelas ilmu, in shaa Allah kita akan sentiasa mendapat keredhaan dari Nya dan secara automatik kita akan cinta kepada Allah dan RasulNya. Bila kita dah cinta pada Allah dan RasulNya kita akan terus takut untuk melakukan dosa. Tak kenal maka tak cinta.

  7. Sentiasa mendengar tazkirah dan peringatan-peringatan. Dekatkan diri anda dengan alim ulama. Banyak ilmu akhirat yang boleh anda pelajari. Dengan mendekatkan diri, kita akan lebih matang sama ada nak melakukan maksiat ataupun tidak.
  8. Sabar dalam melawan hawa nafsu. Antara cara yang terbaik untuk melawan nafsu adalah dengan bersabar. Ingatlah sabar adalah senjata terbaik untuk melawan godaan syaitan.
Al-Imam Ibnul Qayyim menyebut di dalam “Tooriq Al-Hijrotain Wa Baab As-Sa’datain” m/s:292-293 beberapa faktor yang boleh membantu anda merealisasikan perkara tersebut.
  • Mengetahui kesan2 buruk maksiat.
  • Malu kepada Allah.
  • Mengetahui bahawa maksiat menghapuskan nikmat dan mengurangkan keberkatan.
  • Takut kepada Allah dan azab neraka.
  • Cinta Allah.
Akhirnya bertaubatlah dan sabar dalam mujahadah dan melawan hawa nafsu anda.

Thursday 18 April 2013

CINTA???

Petikan dari sebuah blog tentang CINTA manusia pada hari ini...

Ramai manusia ingin mencari cinta dan redha Allah. Ramai manusia menyimpan hasrat untuk menjadikan Allah sebagai kekasih nombor satu. Tetapi niat sahaja tidak memadai, sekiranya tidak diaplikasikan mengikut cara yang tepat. Sudah tentu, ilmu dan kefahaman sangat penting. Tanpa ilmu dan kefahaman, kita boleh tersasar jauh dari landasan syariat, sedangkan kita menyangka kita sedang berada di jalan yang lurus dalam mencintai dan mencari redha Allah.

IKHTILAT

Isu ikhtilat tidak pernah sunyi dalam kamus hidup remaja. Lumrahnya begitu, kerana remaja cenderung untuk mencari cinta dan kasih sayang. Mereka dambakan belaian dan tempat bermanja. Mereka mahu menyayangi, merindui, disayangi dan dirindui. Segala fitrah ini seringkali membawa remaja jauh tersasar dari landasan syariat andaikata tidak dipandu dan dikawal oleh ilmu dan kefahaman Islam yang sebenar.

Begitu juga ramai di kalangan remaja yang keliru tentang ikhtilat. Ramai juga yang menyangka, menjaga ikhtilat itu untuk golongan ‘agama’ sahaja. Adapun golongan ‘biasa-biasa’, soal ikhtilat atau percampuran antara lelaki dan wanita tidak perlu ditekankan sangat. Apa yang penting, jangan sampai terjebak dengan zina. Kalau setakat berdua-duaan, berpegangan tangan atau bertepuk tampar, itu dianggap perkara biasa. Sedangkan hakikatnya, syariat Islam itu sama sahaja untuk semua.

Dari situ kita melihat, isu ikhtilat tidak pernah selesai. Para remaja masih jauh dari memahami dan mengamalkan etika dan disiplin Islam yang sebenar dalam begaul, terutama melibatkan lelaki dan perempuan.

CINTAN CINTUN

Terjebak dengan cinta adalah perkara biasa hari ini. Orang bercinta dianggap normal, manakala orang yang tidak bercinta pula seolah tidak normal. Fenomena bermain cinta bukan melanda golongan ‘biasa-biasa’ sahaja, bahkan turut sama melanda golongan ‘agama’ dengan begitu

hebat. Cuma praktikalnya sahaja berbeza. Golongan ‘agama’ mungkin tidak sampai membonceng pasangan mereka menaiki motor ke hulu ke hilir. Tetapi berdua-duaan tetap ada. Bertukar kata rindu dan sayang tetap ada. Kononnya, ‘couple islamic’ kata mereka.

Cinta itu lumrah dan fitrah. Namun seringkali ia bertukar menjadi fitnah. Jangan salahkan Tuhan kononnya itu fitrah dan kita hanya mengikut fitrah. Sebaliknya kena sedar, bahawa Allah menyediakan garis panduan yang cukup lengkap bagaimana mahu menguruskan fitrah tersebut. Allah sekali-kali tidak pernah menzalimi manusia, tetapi manusia itulah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Allah tidak menghalang perasaan dan keinginan untuk bercinta, bermanja, berkasih sayang, rindu-rinduan, tetapi Allah menyuruh kita supaya menggunakan saluran yang betul. Salurannya ialah pernikahan. Bukan sahaja segala fitrah tadi dapat disalurkan dengan baik, bahkan juga dapat menjaga keturunan dan maruah manusia. Lihat bagaimana Allah selaku mekanik kepada manusia, menyediakan manual yang begitu teliti. Takkan pula kita sewenang-wenangnya mahu ‘menyalahkan’ Allah atas nama fitrah, sedangkan kita sendiri yang mengubahnya menjadi fitnah?

ZINA HATI?

Banyak orang mentakrifkan zina hati sebagai ‘pengharaman mengingati’ orang yang bukan mahram. Pendapat ini mungkin agak keras dan syadid, berbanding pendapat yang mengatakan zina hati sebagai ‘pengharaman mengingati bukan mahram yang berlebihan, bercampur baur dengan unsur dan nafsu dan syahwat serta mendorong kepada maksiat’. Apa yang penting adalah, zina perkara dosa yang sangat ditegah oleh Allah. Mendekati zina sudah dilarang keras, apatah lagi sewenang-wenangnya mengamalkan tabiat berzina. Mendekati zina ada banyak cara, antaranya adalah dengan tidak menjaga lisan, telinga dan hati sehingga terjebak dengan unsur-unsur nafsu syahwat dengan kaum yang berlainan jantina dengan kita.

Mengingati seseorang pula tidaklah sampai menjadi haram. Apatah lagi dikategorikan sebagai zina hati. Umpamanya, seorang lelaki tiba-tiba teringat kepada seorang wanita yang dikagumi dan diminati. Namun dia sedaya upaya mengawal dirinya supaya tidak terus beranganan, berimaginasi, berkhayal dan dia lekas-lekas beristighfar kepada Allah. Itu bukan namanya zina hati. Sebab utama adalah, manusia tidak mampu menyekat hatinya dari mengingati orang lain. Di sana ada perbezaan antara ” teringat “ dan ” sengaja ingat “. Teringat adalah diluar usaha kita, manakala sengaja ingat adalah usaha kita sendiri.

Sekiranya seseorang itu mempunyai kekasih, dan setiap malam dia membiarkan dirinya leka dengan ingatan pada kekasihnya, sehingga cenderung untuk berkhayal dan berimaginasi, maka jelas sekali dia terjebak dengan apa yang dikatakan sebagai zina hati. Termasuk juga di dalamnya adalah berkhayal tentang pipi kekasihnya, mata, bibir, bentuk badan, suara, kemanjaan, kelembutan, jelingan , lebih dahsyat lagi kalau sampai tahap membayangkan ‘seekor lembu yang tidak memakai baju’.

DISIPLIN

Bercinta tidak salah. Meninggalkan perasaan cinta suatu perkara yang bukan mudah. Kerana itu, alternatif yang ada wajar digunakan sebaiknya. Antara yang boleh dibuat adalah mengamalkan disiplin yang tinggi dalam bercinta. Awak suka saya dan awak berhasrat tinggi untuk memiliki saya, dan saya juga mempunyai perasaan yang sama kepada awak. Namun , masanya belum tiba. Sebelum masa itu tiba, kita berdua wajib amalkan disiplin yang tinggi, sama seperti orang yang tidak pernah mengenali antara satu sama lain.

Kita tidak boleh bebas bergayut di telefon setiap masa yang kita suka. Kita tidak boleh bebas keluar berdua. Kita tidak boleh dengan selamba mengisytiharkan ‘status’ cinta kita kepada orang lain. Contohnya, meletakkan status ‘in a relationship with minah / mamat’ dekat facebook. Kita juga tidak boleh menulis kata-kata manja, rindu, sayang dan sebagainya, apatalah lagi berbalas-balas kata yang serupa di wall facebook masing-masing. Ketahuilah bahawa kesemua itu adalah dosa. Bahkan dosa itu telah ‘beranak’ menjadi dua tanpa anda sedari.

Dosa pertama, anda tidak menjaga batas hubungan antara bukan mahram, meskipun berupa kata-kata. Dosa kedua, anda mempamerkan pula maksiat tersebut di hadapan semua orang. Fikir-fikirkan jugalah, bagaimana hubungan anda dengan si dia akan beroleh keberkatan, kalau segalanya bertentangan dan berlawanan dengan kehendak Allah?

Dari situ, adakah anda mahu melafazkan niat : ” Sahaja aku mencintai pakweku / makweku kerana Allah ? “

RAHSIA

Soal anda suka siapa, sayang siapa, siapa sayang anda dan suka anda, biarlah rahsia antara anda dan dia. Bukan maksudnya, rahsia anda bebas berhubungan dengan dia. Maksudnya begini ; anda dan dia ada hubungan atau perjanjian. Lebih baik, perhubungan dan perjanjian ini dikawal oleh keluarga. Alternatif paling bijak adalah bertunang. Kemudian, anda hidup dengan cara anda, begitu juga dengan dia. Sekiranya ada perkara penting yang memerlukan perbincangan, maka anda dan dia boleh berbincang. Sekiranya tiada, maka cukuplah anda mengetahui yang dia masih hidup, tidak sakit dan dia juga begitu.

Ada pun fenomena bersibuk-sibuk dengan status ‘sudah berpunya’, ‘dah ada couple’ , ‘dah jadi hak orang’ , maka ini semua jauh dari tatacara yang diajarkan agama. Lebih-lebih lagi wanita, anda sangat perlu menjaga maruah dan sifat malu. Nabi s.a.w sangat menekankan tentang peri pentingnya sifat malu pada manusia, lebih-lebih lagi wanita. Sehingga Baginda s.a.w menyebut : ” Sekiranya kamu sudah hilang sifat MALU, maka kamu boleh buat apa sahaja yang kamu MAHU “.

Seorang wanita boleh berdiri di atas pentas memperagakan fesyen bogel di negara barat, sedangkan dia seorang wanita. Tetapi itulah kebenaran kata Nabi s.a.w : kalau kamu sudah hilang sifat malu, segala benda kamu boleh buat. Hatta kencing di tepi jalan pun kamu boleh buat tanpa rasa malu.

Tetapi kita wanita Islam, jagalah sifat malu sebaik mungkin.

Malulah untuk bercakap dengan kaum yang bukan mahram. Malulah untuk berlebih-lebihan menampakkan rasa cinta , sedangkan diri belum bernikah. Malulah untuk mengisytiharkan kononnya aku sudah ‘berpunya’ sedangkan masih di bangku sekolah.

Lebih-lebih lagi, MALU lah untuk mengatakan AKU CINTA ALLAH, sedangkan hakikatnya anda sedang mendewa-dewakan manusia dan meminggirkan syariat Allah.

Semoga Allah memberikah hidayahNya kepada kita semua.
Wallahu a'lam

Wednesday 3 April 2013

Jalan Hidup Islam

Ustaz Pahrol Mohd. Juoi


Semoga kita dikurniakan hati yang sentiasa mengingati Allah agar jiwa kita menjadi lebih tenang, dan mempunyai lidah yang sentiasa berzikir kepada Allah supaya kita sentiasa menuturkan perkataan-perkataan yang baik dan ucapan yang boleh memberi manfaat bukan saja kepada diri sendiri malah kepada orang lain juga. Seorang mukmin, cakapnya itu zikir, dan diamnya berfikir.

Mari sama-sama imbau kembali perbincangan minggu lepas di bawah tajuk: Ibadah Pemacu Tamadun Rohani & Material. Kesimpulan daripada minggu lepas – pohon ibadah yang rendang mempunyai akar yang kuat, batang yang besar, dahan dan daun yang banyak serta buah-buahan yang lebat. Pohon rendang ini seumpama kesyumulan ibadah yang kita lakukan – akar yang kuat seperti rukun iman yang enam yang merangkumi ibadah asas. Walaupun tidak kelihatan, ia memberikan sokongan padu pada pokok itu. Batang pokok pula menggambarkan ibadah asas yang merangkumi rukun Islam yang lima – mengucap, solat, puasa, zakat dan mengerjakan haji. Dahan-dahan besar dan kecil pula menggambarkan ibadah umum atau kita kenali sebagai fadhu kifayah. Dalam kalangan masyarakat, majoriti memahami fardhu kifayah sebagai solat jemaah dan solat jenazah sahaja. Tetapi dalam Islam, fardhu kifayah merangkumi semua aspek kehidupan, antaranya termasuklah pendidikan, ekonomi, hiburan dan sebagainya. Daun-daun yang banyak seumpama ibadah-ibadah sunat. Ibadah sunat tidak boleh dipandang ringan. Sepertimana pentingnya daun untuk menjana makanan kepada pokok, ibadah sunat perlu kita lakukan untuk mendapat kasih-sayang Allah. Akhirnya pokok yang rendang itu pasti mempunyai buah yang lebat dan manis rasanya.

Buah-buah ini inilah hasil ibadah yang diperolehi iaitu tamadun rohani, di mana masyarakat menjadi lebih berakhlak, berkeperibadian tinggi, dan pada masa yang sama mengecap tamadun material dan fizikal yang tinggi. Pokok yang rendang bukan saja memberi kekuatan pada diri sendiri, namun ia juga boleh memberi sokongan pada orang lain. Contohnya di bawah pokok yang rendang, pasti ramai yang ingin tumpang berteduh, dan juga singgah untuk makan buahnya yang manis. Pokok yang rendang ini jika dibaling batu sekalipun, ia tetap akan membalas dengan kebaikan iaitu dengan menggugurkan buahnya.

Inilah metafora umat Islam yang berjaya melaksanakan ibadahnya dengan sempurna. Walaupun orang buat jahat padanya, bukan setakat kejahatan itu tidak merosakannya, malah dia boleh pula memberi kebaikan kepada orang yang berbuat jahat kepadanya. Inilah sifat Islam – 'Selamat dan menyelamatkan'. Islam itu umpama pohon besar, yang tahan ujian dari luar, ataupun dari dalam. Jadi alangkah beruntungnya dunia, bukan hanya untuk orang Islam sahaja, sekiranya umat Islam dapat melakukan ibadah dengan sempurna. Islam yang syumul sentiasa memayungi orang lain.

Sayang sekali, realitinya tidak begini. Dalam masyarakat hari ini, berlaku dua kumpulan kecenderungan yang melampau ('extreme'). Kumpulan pertama 'extreme' dalam menjaga soal akar dan batang sahaja, mereka sekadar pentingkan rukun iman dan rukun Islam sahaja. Mereka ini cuma menegakkan fardhu ain sahaja tanpa mengambil peduli fardhu kifayah. Pokok yang cuma tinggal akar dan batang, tanpa dahan, daun apatah buah, bukan lagi pokok namanya tapi dipanggil tunggul. Inilah umpama orang yang hanya fokus pada perkara fardhu ain sahaja, keindahan Islam sebagai 'way of life' tidak akan kelihatan padanya dan dia akan dipandang lemah.

Golongan 'extreme' kedua hanya pentingkan soal-soal fardhu kifayah iaitu isu berkaitan sistem sahaja lalu menjalankan sistem ekonomi, pendidikan dan lain-lain berteraskan Islam. Mereka meminggirkan soal-soal rukun iman dan rukun Islam. Solat entah ke mana, zakat entah ke mana. Mereka ini seumpama mengharapkan pokok yang tiada akar dan batang yang kuat untuk berbuah lebat. Pokok mereka bukan sekadar tidak berbuah, bahkan jika ditiup angin yang biasa sahaja sudah boleh tumbang menyembah bumi. Mereka beria-ia menegakkan sistem berteraskan Islam, namun tanpa akidah yang kuat, belum pun sempat maju, akidah sudah goyang lalu berleluasalah masalah sosial dalam masyarakat. Kita sepatutnya menjaga ibadah secara syumul (sempurna), barulah Islam boleh menjadi selamat dan menyelamatkan.

Sehingga kini, kita barus habis membincangkan 'tujuan hidup', iaitu langkah pertama sebagai Mukmin Profesional. Kesemuanya ada tujuh langkah untuk menjadi Mukmin Profesional, antaranya: Tujuan Hidup, Jalan Hidup, Penghalang Hidup, Pendorong Hidup sampailah kepada Akhir Hidup. Oleh itu, perbincangan seterusnya adalah berkaitan 'Jalan Hidup'. Mengetahui tujuan hidup sahaja tidak memadai. Kita perlu tahu juga jalan yang perlu diambil. Contohnya, katakan kita ingin ke Johor Baru, dan kita sudah ada alamat penuhnya, namun kita takkan sampai sekiranya kita ambil bas menuju arah utara. Jadi, walaupun tujuan kita jelas, jalan yang diambil juga mestilah jalan yang betul. Peri-pentingnya 'jalan' ini dapat dilihat daripada ayat dalam surah Al-Fatihah: “Tunjukkanlah daku jalan yang lurus”. Allah mewajibkan kita membaca ayat ini paling kurang 17 kali sehari, dan ini menjadi bukti kepentingannya, kerana Allah Maha Mengetahui daripada kita, insan yang kerdil ini.

Kita wajib minta doa ini ketika solat. Kita minta berulang-kali, minima 17 kali sehari. Jika kita mula solat pada umur 15 tahun, setelah 40 tahun, kita telah meminta doa ini sebanyak 155, 125 kali. Begitu banyaknya kita meminta. Persoalannya pula – adakah kita minta secara bersungguh-sungguh atau secara sambil lewa saja? Mari bandingkan dengan kisah berikut: Contohnya jika kita buat permohonan pinjaman Islam untuk beli kereta atau rumah. Selagi belum diluluskan, kita pasti resah dan terus-menerus 'follow-up' dengan pihak bank. Tapi bagaimana pula dengan sikap kita setelah berkali-kali memohon jalan yang lurus? Adakah kita pernah bertanya – sudahkah Allah memakbulkan permintaan kita? Ataupun adakah kita tidak perasan bahawa Allah telah mengabulkan permintaan kita? Ada satu perumpamaan dalam Bahasa Inggeris – 'When you ask, listen'. Itu maknanya kita perlu prihatin dengan 'jawapan' yang Allah beri. Jangan pula kita membiarkan diri menjadi alpa dan tuli dengan jawapan yang telah Allah beri. Jika itu yang berlaku, kita sebenarnya seorang peminta yang ego. Kita hanya meminta di bibir, tidak di hati. Sebab itu salah satu adab berdoa yang paling penting ialah mempunyai sifat kehambaan dalam hati kita semasa berdoa, kita perlu rasa kecil, rasa kurang, rasa lemah, rasa jahil dan sangat-sangat mengharap pada bantuan Allah. Tapi jika kita ego, kita mungkin takkan nampak jawapan yang Allah beri.

Kenapa kita perlu mohon jalan dari Allah? Tak bolehkah jika kita buat jalan sendiri? Kadang-kadang kita terlupa bahawa kita tidak layak untuk buat jalan sendiri. Kita cuma layak minta Allah tunjukkan jalan yang telah dibuat untuk kita. Kenapa? Sebab Allah SWT telah tegaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 284 yang bermaksud seluruh alam dan bumi ini kepunyaan Allah. Oleh kerana itu, kita manusia ini hanyalah menumpang di bumi ini. Perhatikan metafora ini: Seorang anak kecil jumpa duit 50 sen dan memberitahu ayahnya yang dia ingin membelanjakan wang tersebut. Sebagai ayah yang soleh, ayah akan melarang anaknya daripada berbuat begitu. Anak cuba berbahas dengan menyatakan duit itu dia yang jumpa, namun ayah akan menjelaskan bahawa duit itu tetap bukan milik anaknya walaupun dia yang menjumpainya. Jadi samalah seperti manusia di bumi ini, kita datang ke dunia dan semua makhluk lain seperti tumbuhan, binatang telah sedia ada. Walaupun kita menjumpai sumber-sumber ini, namun hanya Allah yang berhak mentadbir alam ini mengikut hukum-hukum-Nya. Oleh sebab itu, manusia tidak layak membina jalan kehidupan sendiri – ini bermakna segala x'sme (contoh nasionalisme, kapitalisme dsb.) bukan contoh terbaik untuk dijadikan ikutan. Satu lagi metafora sebagai renungan: Seorang sahabat datang ke rumah kita, dan mula mengubah susun-atur kediaman kita. Bagaimana agaknya perasaan kita ketika itu? Pasti kita rasa tak senang dengan tetamu tak beradab sebegini. Jadi kita juga janganlah jadi hamba Allah yang tak beradab dengan mengabaikan jalan Islam yang Allah telah tetapkan.

Soalan & Jawapan:

S: Mohon petua bagaimana nak mujadah dalam beribadah?
J: Mujahadah merupakan usaha gigih yang memerlukan pengorbanan demi mencari keredhaan Allah. Kita sedia maklum jalan menuju Allah dipagari kesusahan. Manakala jalan menuju neraka pula dipagari keseronokan. Jadi kita perlu bersedia bahawa susah itu satu sunnatullah. Jadi apabila kita rasa susah dalam bermujahadah, maknanya kita berada di jalan yang benar dan kita sedang diuji. Oleh itu, langkah-langkah untuk menguatkan diri dalam bermujahadah:
  • Pertama: kita kena siapkan hati kita dari awal-awal lagi. Para sahabat Nabi SAW, apabila ditimpa kesusahan akan berkata “Sesunggguhnya, telah berlaku janji Allah”. Mereka tak pula mempersoalkan mengapa mereka yang yang diuji. Sebagai contoh, jika kita nak ke Bentong, kita sudah tahu bahawa kita akan perlu bayar tol. Jadi kita takkan terkejut lagi dan akan menyediakan bayaran yang diperlukan. Begitulah dalam bermujahadah, kita perlu tetapkan 'mindset' bahawa kita akan menempa kesusahan.
  • Kedua, kita perlu banyak berdoa memohon Allah permudahkan jalan itu. Nabi SAW sendiri mengajar sahabatnya, Sayyidina Mu'az bin Jabal, agar berdoa: “Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu.” Maksudnya, hatta untuk mengingati Allah sekalipun kita perlu berdoa. Apabila kita selalu berdoa, jangan kecewa jika bantuan belum tiba, kerana bantuan Allah pasti akan tiba. Ketiga: kita perlu sering berzikir kerana ianya akan memberi kekuatan pada jiwa kita. Bila menang, kita perlu bersyukur dengan nikmat dan kekuatan yang Allah beri. Sebaliknya, jika kita terlanjur berbuat dosa, kita kena cepat-cepat bertaubat. Jangan putus asa dengan diri sendiri walaupun kita sering kalah dalam mujahadah. Biar kita kalah, tapi jangan kita mengalah. Allah telah berjanji bahawa jika kita benar-benar berusaha untuk menempuh jalan Allah, Allah akan tunjukkan jalan tersebut.
  • Keempat: Jangan dedahkan diri ke tempat-tempat yang boleh merosakkan iman kita. Contoh: jangan pergi tempat maksiat. Cari program yang mendekatkan diri kepada Allah. Sebab itu Allah sendiri berfirman: 'Jangan kamu hampiri zina'. Allah tak benarkan kita hampir sekalipun, kerana Allah tahu kelemahan kita. Pilih rakan yang baik dan sertai jemaah untuk tambah kekuatan.

S: Ustaz sebut tadi yang kita kena tolak x'sme yang ada termasuklah nasionalisme. Mohon pencerahan ustaz kerana ketika Rasul SAW datang, baginda memperkuatkan jati diri bangsa Arab sehingga terbinanya nasionalisme bangsa Arab. Allah juga telah berfirman bahawa manusia itu dijadikan berpuak-puak agar kita saling mengenal antara satu sama lain. Jadi adakah wajar kita menolak nasioanlisme dan hanya menggunakan Islam sebagai platform? Tidakkah tindakan ini boleh menyebabkan orang Islam negara lain menuntut hak mereka di Malaysia?
J: Bila saya sebut nasionalisme tadi, bukan maksudnya kita tolak secara keseluruhan, cuma kita perlu letak Islam lebih tinggi daripada segala-galanya. Betul, nasionalisme telah memperkuatkan bangsa Arab, yang sebelum itu cuma dilihat sebagai 'belalang padang pasir'. Kehadiran Islam membuatkan bangsa Arab mampu mengalahkan bangsa Parsi dan bangsa Rom dan menjadi bangsa pembina empayar. Kekuatan orang Arab ini datang daripada Islam, sebagaimana yang disebut Sayyidina Umar sendiri bahawa mulianya Arab kerana Islam. Bangsa itu bukan matlamat, cuma sebagai alat perjuangan. Apa buktinya bangsa bukan matlamat? Ketika kafir Quraisy menguasai Mekah, berlaku penindasan yang hebat terhadap orang Islam, lalu Rasul SAW memerintahkan sahabat berpindah ke Habsyah (Utopia). Di situ terdapat bangsa lain berkulit hitam, dengan rajanya, Raja Najashi. Jadi jelas di sini bahawa Rasul SAW sanggup meminta sahabat meninggalkan bangsanya sendiri dan berlindung dengan bangsa lain. Oleh itu, perasaan untuk sayang bangsa kita dan membela nasib bangsa kita sendiri tidaklah menjadi kesalahan. Bangsa ini merupakan anugerah Allah kepada kita. Bangsa Melayu kita ketinggalan dalam banyak bidang, jadi kita berharap agar bangsa kita boleh 'berdiri sama tinggi, duduk sama rendah' dengan bangsa lain. Oleh itu, cara terbaik untuk memajukan bangsa kita adalah dengan Islam. Ini keraja bangsa yang menerima Islam akan menerima kemuliaan. Namun jika kita cuma memperjuangkan semangat kebangsaan, tanpa menjadikan Islam sebagai asas dan terasnya, ianya akan berubah menjadi 'Assobiyyah'. Ini akan menyebabkan kita terus sokong walaupun bangsa kita melakukan kesalahan atau kejahatan. Ini tidak berlaku pada zaman Rasul SAW. Ukurannya ialah syariat, yang salah tetap salah. Jadi bila orang Melayu buat silap, dan orang Cina betul, kita perlu sokong orang Cina, dan itu bukan bermaksud kita tak sayangkan bangsa kita, tetapi itu kerana kita cintakan keadilan dan kita berpegang dengan konsep siapa yang lebih dekat dengan Islam. Oleh sebab sayangkan kaum Arablah, Nabi bawa agama Islam kepada mereka. Oleh kita tak boleh menyokong bangsa kita sehingga tidak berlaku adil kepada bangsa lain.

S: Apakah hukum seorang Islam yang meninggalkan cara hidup Islam? Bagaimana cara menasihatinya agar kembali?
J: Nasihat ada dua bentuk iaitu perkataan dan amalan, dan yang paling penting ialah dalam bentuk amalan. Kita pun sedia maklum bahawa 'Action speaks louder than words'. Oleh itu jika kita dapat pamerkan Islam dalam cara hidup kita, kita cakap sikit saja, orang dah mudah ikut. Tapi jika kita sendiri tak buat, orang akan susah nak ikut, Manusia lebih percaya matanya daripadanya telinganya. Oleh itu cara terbaik menasihati rakan adalah dengan mempamerkan akhlak yang baik. Seterusnya, kita perlu doakan dia juga sebagaimana Rasul SAW mendoakan Umar, penduduk Taif agar diberi pentunjuk. Inilah dua kekuatan Rasul SAW dalam berdakwah – akhlak dan doa. Jadi jika juga kena laksanakan kedua-duanya.

S: Mengapa kita selalu lalai? Adakah hati kita belum cukup kuat? Bagaimana menghadirkan hati untuk mengingati Allah?
J: Kita perlu berterusan ingat Allah, walaupun kadang-kadang mulut kita menyebut Allah, tapi hati kita lalai. Imam Ghazali ada berkata: “Walaupun hati kita lalai, teruslah menyebut Allah kerana sekurang-kurangya mulut sudah terselamat daripada mengatakan yang buruk”. Bak kata pepatah – 'Kalau kita tak dapat jadi garam yang memasinkan ikan, kita jangan jadi lalat yang membusukkannya.' Kita perlu juga bergaul dengan rakan-rakan dan pergi ke tempat yang memudahkan kita mengingati Allah.

S: Mohon nasihat menghadapi situasi menegur orang tapi dia tak nak dengar.
J: Teruskan menegur, jangan putus asa. Rasul SAW sendiri berdakwah berkali-kali sebelum diterima. Dalam kaedah pendidikan, mengikut kajian, setelah dicakap 300 kali baru masuk ke hati seseorang. Sebab itu seorang ibu boleh bercakap berulang-ulang benda yang sama kerana dalam dirinya ada 'rahim' iaitu kasih sayang. Manakala seorang bapa pula takkan bersabar untuk mengulang terlalu banyak kali. Disamping itu, jangan lupa saranan kepada soalan sebelum ini iaitu berdakwah melalui akhlak yang baik dan doakan.

S: Bagaimana komen tentang jalan hidup seperti dalam surah Al-'Asr di mana Allah isytiharkan manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan kepada kebaikan.
J: Manusia biasanya melihat yang tersurat sahaja, tapi tidak melihat yang tersirat. Sebagai contoh, Nabi Muhammad SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat Fajar kerana ianya lebih bernilai daripada dunia dan seluruh isinya. Namun berapa ramai daripada kita yang ghairah mengerjakan solat sunat ini? Kita lebih ghairah apabila mendengar tawaran jualan di 'shopping complex'. Kita tak rasa kerugian apa-apa yang berharga apabila meninggalkan solat sunat, solat fardhu, sedangkan orang yang solat akan mendapat banyak bentuk perlindungan daripada Allah. Jadi kita perlu celik mata hati agar nampak dunia sebagai alat untuk sampai ke syurga. Kita jangan hanya nampak yang dekat (dunia), tapi tak nampak yang akhirat. Kita nampak nikmat, tapi tak nampak hakikat bahkan kita lupa kepada pemberi nikmat. Iman adalah percaya kepada perkara-perkara yang tak nampak (tersirat) – percaya kepada syurga, neraka, pahala, dosa. Hanya orang yang beriman mampu 'melihat' ini semua. Manusia mudah tertipu kerana dunia ini ibarat fatamorgana, kelihatan seperti ada segala-galanya, tapi sebenarnya tiada apa-apa kecuali bagi mereka yang beriman, beramal, dan yang berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

S: Berkaitan pohon ibadah - bukankah apabila kita solat, Allah akan memberi pertolongan dan keberkatan dalam rezeki kita? Adakah apabila kita melakukan ibadah asas akan mendatangkan ibadah sunat pula?
J: Berkaitan pohon ibadah, apabila akar dijaga dengan baik, akan tumbuh batang, dahan, ranting yang banyak. Tapi tak cukup berhenti di situ sahaja. Rezeki pula adalah sesuatu yang Allah telah tentukan. Perhatikan cicak – rezekinya adalah binatang yang terbang, jadi jika kita fikir secara logik, cicak perlu ada sayap juga agar dapat kejar makanannya. Namun All tak jadikan cicak begitu dan cicak tetap dapat rezekinya. Begitu juga dengan pokok periuk kera. Walaupun ianya tak dapat bergerak, rezekinya Allah jadikan datang daripada haiwan yang bergerak. Tetapi untuk manusia, Nabi tidak menggunakan cicak atau pokok periuk kera sebagai kiasan, tapi Nabi SAW menggunakan burung. Selalu ada hadis yang menyebut tentang burung keluar pagi dengan perut yang kosong namun pulang pada waktu senja dengan perut yang berisi. Jadi inilah yang perlu kita faham, sepertimana burung yang perlu keluar mencari rezeki yang telah ditentukan untuknya, manusia juga perlu berusaha untuk mendapatkan rezekinya. Inilah yang dikatakan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita perlu berusaha, namun yang memberikan rezeki itu Allah. Di situ ada dua kewajipan kepada manusia – pertama: berusaha dan kedua: menerima takdir yang telah ditetapkan. Kita tak boleh berusaha dan yakin dengan usaha atau tak berusaha dan mengharap sahaja, perlu ada kombinasi kedua-duanya. Dalam satu ayat Al-Quran ada disebutkan bahawa selepas solat Jumaat, bertebaranlah kamu mencari rezeki Allah dan sebutlah nama Allah banyak-banyak. Maksudnya, selepas solat kita tak boleh duduk diam, kita perlu berusaha mencari rezeki di samping mengingati Allah banyak-banyak. Mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga adalah sebaik-baik amalan selepas amalan yang fardhu, dan juga dianggap sebagai jihad. Oleh itu disamping menjaga akar dan dahan, kita perlu juga jaga ranting, daun dan buah. Cuma kita perlu tahu prioriti yang mana perlu didahulukan.

S: Bagaimana dengan orang yang ditimpa musibah, namun dia tak redha dan sekadar pasrah sahaja?
J: Kedudukan orang yang redha lebih tinggi berbanding orang yang sabar. Orang yang redha, bila menghadapi musibah, dia ucap 'Alhamdulillah'. Dia terasa 'manis' dengan kepahitan ujian yang diberikan. Orang sabar pula ucap 'Innalillahi waninna ilai hiroji'un' bila diuji kerana dia menderita di dalam hati, cuma tak terucapkan dengan kata-kata. Jadi tingkat pasrah tertinggi ialah redha, tapi jika tak mampu, kita cuba bersabar dahulu.

Peringatan Kepada Golongan Pencaci Dan Pembuat Fitnah Kepada Orang

By Dr Abu Anas Madani

 http://www.youtube.com/watch?v=Gz70T-V_r2U&feature=player_embedded

Sedikit tazkirah ataupun peringatan kepada masyarakat Islam di zaman yang kita hidup; di saat kita hidup di zaman yang penuh dengan fitnah dan pancaroba ini. Kita lihat hari ini, tersebarnya fitnah yang begitu dasyat di kalangan kita. Ada orang yang menyebarkan tulisan-tulisan, membuat tuduhan kepada orang (secara) sembarangan. Ada orang yang menyebarkan melalui alat-alat media, melalui youtube, video, dalam TV, dalam radio. Kita kena ingat, bahawa jiwa seorang Muslim, seorang yang beriman kepada Allah swt itu, bukanlah jiwa yang dibiarkan begitu sahaja. (Jiwa orang Muslim itu adalah) jiwa yang mempunyai harga yang begitu mahal.

Darah kamu, harta kamu, kehormatan kamu, haram atas diri kamu. Hari ini kita lihat, kehormatan diri manusia telah menjadi mainan, (hanya) kerana perbezaan ideologi, perbezaan pandangan, samada pandangan politik, pandangan pemikiran mazhab, pandangan yang tidak serupa dengan kita sahajalah senang, terus akan dijatuhkan hukuman yang begitu dasyat. Bahkan sanggup mengatakan seseorang ini ahli neraka, orang ini ahli sesat, yang begitu mudah sekali kita lemparkan tuduhan-tuduhan. Kadang-kadang yang menjadi mangsa ini, bukan orang-orang yang biasa. Samada orang politik sesama mereka, itu kita anggap orang biasa. Tapi, tuduhan ini dilemparkan ke atas para pendakwah, bahkan orang yang boleh dianggap sebagai alim ulama', orang yang wara' (yang) kita lihat pada zahirnya, (kita) tuduh bermacam-macam, (kemudian tuduhan ini) disebar melalui video, melalui internet. Gambar-gambar yang telah diedit, (di)masuk(kan ke dalam internet).

Kamu kena ingat, Allah swt telah menyebut dalam Al-Quran Al-Karim dalam surah An-Nur ayat 15:

إِذۡ تَلَقَّوۡنَهُ ۥ بِأَلۡسِنَتِكُمۡ وَتَقُولُونَ بِأَفۡوَاهِكُم مَّا لَيۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمٌ۬ وَتَحۡسَبُونَهُ ۥ هَيِّنً۬ا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ۬
(ertinya: Ingatlah di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar.)

Ingatlah, ketika kamu menerima berita itu dari mulut ke mulut, kita dengar berita orang buat, kita tengok dalam youtube, orang ini jahat, scandal (tidak kira, skandal seks ke, skandal balak ke, skandal apa benda lah), ataupun pendakwah ini dituduh membawa ajaran sesat, contohnya, kerana perkara-perkara yang tertentu, وَتَقُولُونَ بِأَفۡوَاهِكُم kamu juga kata dengan lidah kamu, dengan mulut kamu. Samada mulut kita yang kita bercakap ataupun tangan yang kita tulis tulisan kita. مَّا لَيۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمٌ۬ Sedangkan kamu tidak mempunyai ilmu, maklumat yang tepat tentang peristiwa yang ada itu, وَتَحۡسَبُونَهُ ۥ هَيِّنً۬ا kamu ingat main-main sahaja, suka-suka sahaja. Like dalam facebook, gelak-gelak, suka-suka sahaja, buat ceramah masuk kampung dan bandar mencerca orang (dan) sebagainya, وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ۬ perbuatan ini merupakan perbuatan yang sangat besar di sisi Allah azza wa jalla.

Nabi saw dalam hadis yang panjang, tentang yang menyebut tentang peristiwa muflis,


قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أتدرون من المفلس ؟ قالوا:المفلس فينا من لا درهم له ولا متاع , قال صلى الله عليه وسلم : إن المفلس من أمتي من يأتي يوم القيامة بصلاة وصيام وزكاة , ويأتي وقد شتم هذا ,وقذف هذا , وأكل مال هذا , وسفك دم هذا , وضرب هذا , فيعطي هذا من حسناته وهذا من حسناته فإن فنيت حسناته من قبل أن يقضي ما عليه أخذ من خطاياهم فطرحت عليه ثم طرح في
النار


(Ertinya: Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?" Sahabat-sahabat Baginda menjawab: "Orang yang muflis di antara kami ya Rasulullah ialah orang yang tidak mempunyai wang dinar dan dirham (ringgit) dan tiada harta benda." Nabi s.a.w seterusnya bersabda: "Sebenarnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa solat, puasa dan zakat, sedangkan datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang, dan menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan juga memukul orang; maka akan diambil daripada amalan kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu. Kemudian apabila habis amalan kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula daripada kesalahan-kesalahan orang yang dianiaya serta ditimpakan ke atasnya. Kemudian, ia dihumban ke dalam neraka.")


Nabi saw (ber)kata di antara sahabat, "Siapa di antara kamu orang muflis?" أتدرون من المفلس Nabi kata, "Kamu tahu apa itu muflis?" Sahabat kata "Muflis ini orang yang tiada harta, yang hutang banyak, duit untuk bayar takde, itu muflis". Nabi kata, إن المفلس من أمتي orang muflis dalam kalangan umat aku ini يأتي يوم القيامة mereka datang pada hari kiamat bawa amalan dia, solat ada, puasa ada, zakat ada, tapi, mulut dia juga telah maki orang perli orang telah ambil harta orang telah memukul orang, apa jadi (kepada orang sebegini)? Maka akan diambil kebajikannya diberi kepada orang yang difitnahnya tadi, orang yang dia zalim tadi. Kalau habis pahala orang tadi, akan diambil dosa dan dicampak ke atas kepala. ثم طرح في النار kemudian akan dicampak ke dalam neraka.


Ini pesanan oleh Nabi yang begitu besar kepada kita. Kerana itulah, saya memberi peringatan, (dan saya memberi) tazkirah ini kepada semua muslimin dan muslimat. Tidak kira apa jenis kita ini, blogger ke, baru-baru nak belajar menulis ke, ahli-ahli facebook ke, wartawan ke, pembaca berita tak kira tv apa, semua kamu ingat, apa yang kamu kata, apa yang kamu tulis, kamu ingat main-main, "saya cuma baca skrip", وَتَحۡسَبُونَهُ ۥ هَيِّنً۬ا kamu ingat benda itu main-main, وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ۬ tapi, ia besar di sisi Allah.


Kamu nak jadi orang muflis di akhirat? Dengan permainan-permainan alat-alat moden yang ada hari ini, duk reka cerita, ambil gambar orang, potong sana potong sini, akhir sekali keluar fitnah.

Kamu ingat orang (yang) kena fitnah ini boleh tidur malam? Kamu ingat orang (yang) kena fitnah berdiam diri begitu sahaja? لا (tidak)

Orang fitnah, orang yang kena zalim, doa orang yang kena zalim ini mustajab.

Allah swt sebut لأنصرنّك ولو بعد حين (ertinya) "Aku akan memberi pertolongan, walaupun selepas beberapa ketika". Hari ini kita lihat, tidak kira orang hidup ataupun orang mati, semua tak selamat. Orang mati pun tidak selamat. Apabila ada tokoh ulama mati, semua orang mengeluarkan kenyataan, statement yang begitu dasyat. Tulis macam-macam kepada orang ini.

Kita kena ingat, kita boleh keluarkan pandangan mereka yang bercanggah daripada kebenaran tapi jangan mencerca mereka.


Dalam hadis Nabi saw berkata, لا تسبوا الأموات (ertinya) jangan kamu maki orang yang telah mati, فإنهم قد أفضوا إلى ما قدموا (ertinya) mereka telah pergi bawa apa yang mereka bawa. (Hadis riwayat Bukhari daripada Aisyah)

Kalau dia bawa yang tak baik, dia berjumpalah dengan malaikat dalam kubur. Tak payah kamu yang jatuh hukum, biarkan mereka dengan amalan mereka. Kita tak payah jadi hakim, biarlah Allah azza wa jalla.

Banyak hadis-hadis nabi yang mengarahkan kepada kita supaya jaga lidah. Nabi kita sendiri saw kata,
("إن اللعانين لا يكونون شفعاء ولا شهداء يوم القيامة" Dikeluarkan oleh Imam Muslim.)
إن اللعانين orang yang suka melaknat orang, mencelaka orang لا يكونون شفعاء ولا شهداء يوم القيامة orang ini tidak boleh jadi saksi dan tidak boleh bagi syafaat pada hari kiamat.

Dan hadis lain lagi, Nabi saw berkata, ليس المؤمن بالطعان ولا اللعان ولا الفاحش ولا البذيء orang mukmin bukan suka membuat tuduhan kepada orang.


Hari ini, kita tengok penceramah-penceramah, masuk kampung-kampung dengan serban mereka, membuat tuduhan, maki orang, pagi sampai gelap, sekali-sekali boleh masuk dalam TV, buat cercaan kepada orang, subhanallahil 'azim. Kita boleh berbeza pandangan, kadang-kadang tuduhan yang dia tuduh bukan tuduhan yang besar. Benda yang masih dalam skop yang boleh berikhtilaf dalam kalangan ulama. Ulama-ulama besar boleh ikhtilaf dalam masalah ini, tapi, kita ulama kecil, kadang-kadang tidak ulama pun, tapi orang angkat sebagai ulama sebab boleh digunakan orang ini, maka kita bercakap lebih daripada para ulama. Mujtahidun pun tidak bercakap lebih daripada itu.

Nabi kata (seperti hadis di atas), (adalah) bukan mukmin orang yang الطعان (iaitu) orang yang suka membuat tuduhan, ولا اللعان bukan juga orang yang suka melaknat orang, ولا الفاحش orang yang suka bercakap keji, cakap kotor, apa lagi hari ini duduk menyebarkan kekotoran, tunjuk video lucah sana-sini, tulis dalam surat khabar, sampai budak-budak pun pening, dia kata, "Apa cerita orang Malaysia ini?" Itu fitnah yang berlaku. Itu hadis At-Tirmidzi, ولا البذيء orang bercakap yang tidak baik.


Dalam hadis lain, Nabi saw berkata,
لم يكن النبي صلى الله عليه وسلم سباباً ولا فحّاشاً ولا لعّاناً
Nabi sendiri bukanlah seorang yang suka melaknat, bukan orang yang suka memaki, mencerca orang, tidak (Nabi bukan begitu).


Jadi, kita belajarlah, banyak hadis yang mengatakan; dalam hadis Abu Daud mengatakan,
يا معشر المسلمين wahai orang beriman, ataupun dalam riwayat (lain) يا معشر من آمن بلسانه wahai orang beriman dengan lidah dia, tapi tidak masuk dalam hati dia. (يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلِ الْإِيمَانُ قَلْبَهُ)
لا تتبعوا عورات المسلمين jangan sekali-kali mencari keaiban orang. Sesiapa yang suka mencari keaiban orang, duk memburukkan orang, duk menjatuhkan orang, يَتَّبِعْ اللَّهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ Allah akan mendedahkan keaibannya walau dalam rumahnya sendiri.


Kita tengok hari ini macam mana, orang yang buat perbuatan-perbuatan seperti ini. Cuba kembali kepada sejarah. Kita lihat. Bila dia duduk sebelah ini, dia duduk kafirkan orang sebelah sini. Orang itu kafir, murtad, pergi ke jirat, hari ini dia duduk sebelah ini, dia kafirkan orang sebelah ini pula. Orang ini, mulut dia, kalau tak sebut kafir, tidak boleh duduk, boleh jadi tidak boleh makan puak-puak ini. Kita pula duk angkat, "Inilah tokoh pejuang, tokoh (lain-lain)" pejuang apa? Pejuang maki orang? Pejuang kutuk orang? Ini bukan pejuang, ini peruntuh agama. Duduk di mana-mana pun ghuluw. Nabi kata إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ, (lafaz penuh adalah إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ؛ فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِالْغُلُوِّ فِي الدِّينِ) "Aku beri peringatan kepada kamu, jangan melampau dalam agama. Binasanya orang dulu-dulu, kerana melampau dalam agama." kononnya nak membela Islam, tapi, kita meruntuhkan Islam dengan adab kita, dengan akhlak kita, dengan sikap kita.


Hari ini hendak mendakwa kalimah Allah swt, kononnya orang yang menyokong kalimah Allah swt ini kafir harbi, kafir harbi. Apakah kalimah Allah swt yang kamu hendak sokong? Sekadar tulisan? Kalau hendak sokong sungguh, ini perjuangan Islam.

من قاتل لتكون كلمة الله هي العليا فهو في سبيل الله
Nabi kata, sesiapa yang berjuang menegakkan kalimah Allah, untuk meninggikan agama Allah, فهو في سبيل الله inilah barulah orang (yang bersikap) pejuang. Kalau setakat tulisan, itu bukan pejuang namanya. Dengan adab-adab dan akhlak yang kamu tunjuk, ini bukan pejuang kalimah, tapi orang yang nak meruntuhkan agama, sebenarnya.


Maka, berhati-hatilah. Mana-mana golongan yang melampau, melampau dalam membuat tuduhan kepada orang, samada mengkafirkan orang, menyesatkan orang, mengata itu mengata ini, semua ini kita perhatikan, tengok gelagat mereka, tengok tingkah laku mereka, apa perjuangan yang dia hendak sebenarnya.


Tidak kira, pejuang Melayu, pejuang Arab, sama sahaja. Nabi saw kata Nabi kita larang daripada perjuangan bangsa, Nabi sebut دعوها فإنها منتنة orang ini dikira orang yang busuk, orang yang menyeru kepada perkauman.


Jadi, alhamdulillah, dalam Islam, banyak adab yang mengajar kepada kita. Yang pertama, jaga lidah.
 ما يلفظ من قول إلا لديه رقيب عتيد Tidak ada satu lafaz, tidak ada perkataan yang kita tulis, tidak ada tuduhan yang dibuat, semunya ada rakib atid, ada malaikat yang menulis amalan dan semuanya akan dikira di hadapan Allah azza wa jalla.

Pernah seorang datang menemui syeikh Abdullah ibnu Al-Mubarak. Dia duduk (men)cerca seseorang di hadapan Syeikh Ibnu Al-Mubarak. Syeikh (Ibnu Al-Mubarak) itu pun (ber)kata, "Hei saudara, kamu pernah pergi berperang melawan Rom?" Lelaki ini kata "Tidak". (Syeikh Ibnu Al-Mubarak kata), "kamu pernah pergi berperang melawan Parsi?" Dia kata "Tidak". Syeikh Ibnu Al-Mubarak kata, "Subhanallah, orang kafir, Rom dan Parsi selamat daripada kamu, tapi saudara kamu orang Islam tidak selamat daripada kamu."

Hati-hatilah kita para jemaah, daripada menjadi orang yang tidak selamat. المسلم من سلم الناس من لسانه ويده  Orang Islam itu, orang yang orang Islam lain selamat daripada lisannya dan tangannya. (Petikan hadis riwayat Ahmad, disahihkan oleh Syeikh Arnaut) Kalau kita menjadi orang Islam yang mencerca, memaki orang, maka kita belum lagi benar-benar seorang Islam.

Semoga tazkirah saya ini, memberi kesedaran kepada diri saya sendiri, supaya bersikap adil dalam menangani masalah dalam umat ini. Dan para pendengar bersikap adillah kita dalam membuat penilaian. Jangan melampau dalam perkara ini, kerana binasa umat dahulu kerana melampau, dan binasa umat ini juga kerana melampau. Janganlah kita mendedahkan keaiban orang , janganlah sampai Allah mendedahkan keaiban kita walaupun dalam rumahnya.