Showing posts with label Solat Istikharah. Show all posts
Showing posts with label Solat Istikharah. Show all posts

Monday, 31 December 2012


Solat Istikharah (3) – Tanyalah Ustaz

Ustaz Muhamad Abdullah (Ustaz Amin)


Bacaan surah Yusuf, ayat 5:

Hari ini akan dibincangkan tanda-tanda atau jawapan Allah daripada istikharah yang dilakukan. Ada beberapa bentuk, antaranya:

Melalui mimpi:
Oleh sebab itu digalakkan di buat istikharah sebelum tidur, dan kemudian tidur dengan keadaan berwudhuk. Nabi SAW ada bersabda yang bermasksud, pada akhir zaman, mimpi seorang yang beriman itu hampir tidak berdusta. Dalam Al-Quran, ada beberapa ayat, contohnya ayat yang dibacakan tadi, menceritakan bagaimana petunjuk Allah datang melalui bentuk mimpi. Dalam satu hadis lain diceritakan ketika Nabi SAW terkena sihir, baginda bermimpi melihat 2 orang malaikat yang membincangkan bahawa Nabi SAW telah disihir dan cara untuk mengubati Nabi SAW. Nabi SAW pun mengarahkan sahabat menurut arahan yang diajarkan malaikat itu dan terbukti kebenarannya.

Dalam satu lagi kisah, guru Salahuddin Al-Ayyubi iaitu Raja Nuruddin pernah bermimpi berjumpa Rasulullah SAW 3 kali. Ketika itu baginda Nabi SAW telah wafat. Baginda berkata, “Lihat aku, tengok aku”. Beliau pun kehairanan dan pergi ke Madinah namun tidak mendapat apa-apa jawapan. Kemudian beliau menganjurkan satu majlis di luar Madinah dan meminta semua orang menghadirinya. Apabila diperiksa, didapati ada 2 orang yang tidak hadir, dan dikatakan mereka merupakan ulama daripada Maghribi. Raja Nuruddin pun pergi ke rumah ulama yang dikatakan itu dan didapati ada satu terowong di bawah tanah yang dibina daripada rumah mereka untuk mencuri jasad Nabi SAW daripada makamnya. Terowong itu tinggal sedikit saja untuk siap. Ulama itu sebenarnya merupakan orang Yahudi. Ini membuktikan bahawa orang Yahudi tidak akan pernah berehat daripada untuk menyakiti Nabi SAW dan umat Islam. Oleh itu, kita semua bertanggungjwab untuk melindungi Nabi SAW. Selepas itu, Raja Nuruddin pun berazam untuk membebaskan Jurusalem daripada cengkaman tentera Salib. Beliau membina 2 buah mimbar dan berniat meletakkannya di Masjid Al-Aqsa. Namun, Raja Nuruddin meninggal dan usahanya disambung oleh Salahuddin Al-Ayyubi yang kemudiannya berjaya menawan Jurusalem.

Mimpi pula ada kalanya datang secara jelas, ada kalanya kita perlu mentafsirnya. Jika perlu ditafsir, ada 3 jalan mentafsirnya iaitu:
  • Tafsir sendiri – boleh rujuk kitab Tafsir Ibnu Sirin.  Jika mimpi tak jelas, biasanya maksudnya terbalik. Contoh jika mimpi dapat emas, mungkin ada maksud tidak baik.
  • Jangan mudah bercerita pada orang lain tentang mimpi yang dialami. Inilah yang dipesan kepada Yusuf, ketika menceritakan mimpi kepada ayahnya.
  • Ceritakan kepada orang yang kita sayang atau orang yang mampu mentafsir.
Melalui lintasan atau gerak hati:
Bentuk kedua ialah melalui gerak hati atau kecenderungan hati. Ada satu hadis yang menyebut jika ingin berbuat sesuatu, lakukan solat istikharah sebanyak 7 kali dan ikutlah kecenderungan hati.

Melalui kemudahan melakukan sesuatu:
Bentuk ketiga ialah dipermudahkan jalan untuk mencapai sesuatu perkara. Contohnya jika berkira-kira untuk berniaga, Allah permudahkan jalan bertemu pembekal, mencari stok, pekerja dan pelanggan.

Sebagai maklumat tambahan: Cara meminta jawapan melalui Al-Quran:
Selesai solat istikaharah, ambil Al-Quran, selawat beberapa kali dan kemudian buka secara rambang. Ayat pertama yang dilihat mata itu mungkin merupakan jawapan daripada Allah. Ini merupakan amalan para ulama. Boleh dicuba ketika kita memerlukan jawapan yang segera.

Hukum mengikut petunjuk istikharah: Afdhal, tetapi tidak wajib. Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud, “Antara kesukaran yang  akan dihadapi anak Adam adalah apabila dia tidak mengikut keputusan istikharahnya”. Oleh itu, lebih baik ikut dan redha dengan petunjuk yang diberi.


Senarai soalan dan jawapan:
S: Ada pendapat mengatakan tidak perlu memohon istikharah kerana qada’ dan qadar kita telah ditetapkan Allah. Apa pandangan ustaz?
J: Betul, qada’ dan qadar telah ditetapkan. Namun, Nabi SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud, tiada yang dapat mengubah takdir kecuali doa. Walaupun telah ditetapkan, kita tidak tahu, oleh sebab itu, Nabi SAW mengajar kita untuk beristikharah. Di samping itu, Allah melihat usaha dan inilah peluang untuk kita menambah pahala.

S: Saya telah buat solat istikharah, namun masih belum dapat jawapan. Mohon penjelasan ustaz.
J: Solat istikharah ini diajar Nabi SAW, oleh itu mustahil tidak mendapat jawapan atau petunjuk. Sila periksa kembalikaifiat yang dibincangkan semalam, mungkin ada yang masih tidak betul dilakukan.

S: Adakah surah tertentu untuk dibaca ketika solat istikharah?
J: Tiada sebenarnya, terpulang kepada kemampuan dan kekusyukan seseorang.

S: Antara solat istikharah dan solat hajat, mana yang lebih afdhal?
J: Solat istikharah dilakukan dalam keadaan keliru untuk membuat pilihan. Jika berhajat kepada sesuatu pula, lebih elok ditunaikan solat hajat.

S: Adakah apabila terlalu meminta sesuatu kita seolah-olah memaksa Allah?
J: Allah yang minta kita berdoa, oleh itu tidak timbul soal kita memaksa. Berdoa merupakan juga satu bentuk tauhid kepada Allah. Sebenarnya tiada doa yang Allah tidak makbulkan. Cuma bentuk jawapannya yang berbeza: ada kalanya Allah beri terus apa yang kita minta, ada kalanya Allah beri yang lebih baik, atau ada kalanya Allah beri jalan untuk mencapai perkara yang lebih baik.

S: Bagaimana untuk menguatkan hati mengikut petunjuk istikharah?
J: Untuk kuatkan hati mengikut istikharah, lazimi membaca ‘La hawla wala quwwata illa billah…’ sehingga akhir ayat.

S: Bagaimana cara untuk seorang wanita yang haid mendapatkan jawapan istikharah segera?
J: Mohon bantuan orang lain untuk mendoakan, atau guna kaedah menggunakan Al-Quran yang dibincangkan tadi, tetapi gunakan Al-Quran tafsir.

S: Jika tiada keperluan istikharah, bolehkah juga dilakukan?
J: Lebih elok tunaikan solat sunat lain.

S: Bagaimana pula jika setelah mengikut petunjuk istikharah, tetapi masih mengalami kesusahan?
J: Kesusahan hari ini tidak bermakna sesuatu yang tidak baik. Ada kalanya Allah beri kesusahan agar kita belajar daripada kesusahan tersebut dan menggunakan pengetahuan itu untuk kemudahan masa hadapan.

Solat Istikharah (2) – Tanyalah Ustaz

Ustaz Muhamad Abdullah (Ustaz Amin)


Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 152 dan 153:

Istikharah bermaksud meminta pilihan daripada Allah Taala. Kata Jabir bin Abdullah: "Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran". Dalam hidup ini kita akan berdepan dengan pelbagai pilihan dan kita tidak tahu mana yang terbaik. Oleh itu, kita perlu memohon bantuan memilih daripada Allah. Hari ini akan dibincangkan kaifiat (kaedah) mengerjakan solat istikharah. Ada tujuh langkah semuanya iaitu:
  • Jangan dirikan ketika waktu haram iaitu selepas solat Subuh sehingga terbit matahari (waktu syuruk) dan selepas mendirikan solat asar sehingga masuk waktu maghrib. Solat sunat istikharah tidak semestinya dilakukan pada waktu malam sahaja.
  • Istikharah mesti dibuat untuk perkara yang dibenarkan syarak sahaja  (perkara wajib dan sunat), bukan perkara haram atau makruh. Contoh perkara harus: untuk berhenti kerja atau meneruskan kerja. Contoh perkara haram: nak pukul orang.
  • Menyediakan hati untuk berserah kepada Allah dan menerima pilihan Allah. Dalam doa istikharah yang diajar Nabi SAW, dihujungnya ada disebut agar kita memohon kekuatan hati untuk mengikut apa yang Allah tunjukkan. Kadang-kala kita sudah diberi petunjuk, tetapi hati kita berat untuk mengikutinya.
  • Jaga syarat sah solat iaitu: menghadap kiblat, tempat solat dan diri bersih daripada najis, suci daripada hadas kecil dan besar dan tutup aurat dengan sempurna. Sedikit panduan cara mandi wajib - perlu niat dan meratakan air keseluruh badan. Untuk meratakan air ke seluruh badan perlu dijaga (dimasukkan air untuk melaluinya) 8 lubang iaitu hidung, telinga, mulut, pusat, qubul, dubur, kuku dan daging lebihan atau lubang bertindik (jika ada). Oleh itu, ketika mandi wajib, seseorang perlu cangkung untuk memastikan air betul-betul melalui seluruh tubuh, terutamanya 8 lubang yang disebutkan. Jika tidak berhati-hati dikhuatiri yang mandi wajib tidak sah. 
  • Jaga rukun solat – niat, rukun qauli (takbiratul ihram, fatihah, tahiyat dan salam) perbuatan (fi’li). Solat dengan tenang, jangan kelam kabut.
  • Melakukan perkara sunat dalam solat seperti membaca surah. Ulama mencadangkan membaca surah Al-Kafirun pada rakaan pertama, dan surah Al-Ikhlas pada rakaat kedua. Ada juga pendapat lain menyatakan baca surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali pada setiap rakaat untuk mendapatkan fadhilat mengkhatam Al-Quran.
  • Berdoa – Nabi SAW ada mengajarkan doa istikharah, tetapi doanya panjang. InsyaAllah akan saya letak di www.ustazamin.com. Jika tidak mampu untuk membaca doa bahasa Arab, boleh juga berdoa dalam bahasa Melayu. Nyatakan secara spesifik perkara yang ingin dipilih – contohnya nak masuk sekolah A atau B, nak kahwin dengan C atau D. Di hujung doa, Nabi SAW mengajar agar kita memohon kekuatan sekiranya perkara yang dimohon itu tidak bagus untuk kita, memohon dijauhkan daripada perkara tersebut dan diberi kebaikan sentiasa.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Adakah tawakkal merupakan satu bentuk istikharah?
J: Tawakkal merupakan sebagian daripada istikharah, iaitu di mana setelah mana mendapat petunjuk, kita perlu bertawakkal dengan pilihan yang diambil.

S: Jika tidak boleh solat selepas Subuh, bagaimana dengan solat sunat Dhuha?
J: Boleh solat selepas syuruk iaitu selepas waktu matahari terbit. Solat sunat Dhuha dilakukan setelah matahari tinggi segalah atau 28 minit selepas matahari terbit.

S: Bagaimana nak tidur dalam keadaan wudhuk sedangkan bersentuhan dengan suami selepas itu?
J: Dari segi hukum, memang batal, tetapi dari segi fadhilatnya tetap diberikan pahala kerana berusaha untuk mengikut sunnah Nabi SAW.

S: Kadang-kadang hati rasa ragu-ragu untuk membeli barang di pasar atau kedai, adakah itu satu bentuk petunjuk?
J: Terbaik adalah kerjakan solat istikharah, tetapi takut tak sempat. Oleh itu, kita perlu jaga solat agar Allah bantu kita melalui firasat atau rasa hati. Kebiasaannya isteri dan ibu mempunyai firasat hati yang lebih baik berbanding dengan orang lelaki. Tetapi pastikan firasat itu tidak membawa kepada buruk sangka.

S: Adakah satu solat istikharan untuk satu masalah saja atau boleh beberapa masalah?
J: Boleh untuk beberapa masalah sekaligus.

S: Jika kita mempunyai 2 pilihan tetapi masa terhad dan terpaksa membuat pilihan segera sebelum mendapat petunjuk. Setelah memilih, adakah kita masih perlukan melakukan solat istikharah sedangkan kita sudah membuat pilihan?
J: Jika kita masih ragu-ragu, boleh teruskan solat istikharah.

S: Apa pandangan ustaz bagi orang yang tidak sabar menunggu petunjuk setelah mengerjakan solat dan pergi berjumpa bomoh?
J: Semalam telah dibincangkan bahawa Allah sebut 2 kali agar kita bersabar dan mengerjakan solat. Oleh itu, jangan terburu-buru sehingga melakukan perbuatan yang Allah larang.

Solat Istikharah (1) – Tanyalah Ustaz 

Ustaz Muhammad Abdullah (Ustaz Amin)


Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 45:

Ada 5 perkara yang akan dibincangkan hari ini:

Manusia dan masalah
Allah menjadikan kita sebagai khalifah di dunia ini dan sebagai manusia, kita takkan boleh lari daripada menghadapi masalah. Ada orang yang semakin jauh daripada Allah apabila ditimpa masalah, tetapi ada juga orang yang sebaliknya. Setiap orang ada masalah, oleh itu tidaklah perlu dibandingkan masalah kita dengan masalah orang lain.

Tindak balas manusia terhadap masalah
Agama mengajar cara terbaik untuk bertindak-balas terhadap masalah. Ada masalah yang boleh diselesaikan sendiri, dan ada pula yang perlukan bantuan orang lain. Sebenarnya yang paling utama ialah untuk kita memohon pertolongan Allah. Jangan pula meminta kepada jin/syaitan/kubur dan sebagainya yang boleh membawa kepada syirik.

Bagaimana menyelesaikan masalah mengikut Al-Quran


Dalam surah Al-Baqarah, ayat 45 dan 153, Allah sebut cara khusus untuk memohon pertolongan kepada Allah iaitu dengan bersabar dan mengerjakan solat. Dua kali Allah sebut perkara yang sama. Persoalannya – kenapa Allah gandingkan sabar dan solat, dan bukan ibadat-ibadat lain? Sebenarnya, fitrah manusia adalah bersifat terburu-buru. Oleh itu, Allah pesan agar bersabar secara khusus. Kedua – kenapa solat? Solat merupakan ibadah yang menghubungkan kita kepada Allah. Jika kita lupa pada Allah, kita akan sukar menerima ujian dan kesusahan yang Allah kurniakan, dan mula menyalahkan pasangan, keluarga atau orang sekeliling. Solat akan dapat mengingatkan kita yang Allah adalah tempat terbaik untuk memohon pertolongan.

Ada ulama mencadangkan, jika kita baru ingin berubah, eloklah diamalkan untuk solat sebanyak 40 rakaat. Kenapa – agar paling kurang dalam sehari, kita akan memohon bantuan Allah sebanyak 40 kali. Untuk mendapatkan 40 rakaat, perlu ditunaikan 5 solat fardhu, tambah solat sunat sebelum dan selepas solat ada 14 rakaat, lagi 9 rakaat boleh buat solat tahajjud, taubat, istikharah dan witir (3 rakaat). Usahakan melakukannya kerana kita lebih banyak meluangkan masa untuk buat perkara lain dalam kehidupan seharian – contohnya kita boleh pula menonton filem/drama berjam-jam lamanya. Solat tidak perlukan masa yang panjang pun. Oleh itu, kita perlu juga beri keutamaan untuk melakukan ibadat solat.

Solat itu sebenarnya merupakan satu bentuk doa. Ada bermacam-macam doa yang kita sebut ketik solat. Contohnya – ketika duduk antara 2 sujud sahaja, kita memohon 8 perkara. Antaranya kita memohon hidayah daripada Allah. Sebagai manusia, kita tidak mengetahui apa yang terbaik, tetapi Allah Yang Maha Mengetahui.

Tujuan solat istikharah
Istikharah hanya untuk tujuan memilih perkara-perkara yang baik (perkara wajib dan sunat). Tidak boleh solat sunat istikharah untuk perkara makruh dan haram. Selepas istikharah disunatkan berdoa. Doanya panjang dan saya akan kongsi nanti di www.ustazamin.com. Namun begitu, tidak salah untuk berdoa dalam bahasa yang kita fahami.

Kelebihan solat istikharah
  1. Solat akan menambah keimanan kerana solat itu akan menambah pergantungan seseorang kepada Allah. Apabila mengingati Allah, hati akan tenang. Ramai orang hari ini tidak tenang kerana lebih banyak mengingati hal-hal keduniaan.
  2. Allah akan beri panduan dalam kehidupan. Sebagai manusia, pengetahuan kita terhad dan Allah Yang Maha Mengetahui. Oleh sebab itu, Allah ada berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 216:



Senarai soalan dan jawapan:
S: Apa makna sebenar dan tujuan solat istilharah?
J: Istikharah bermaksud untuk meminta panduan memilih atau dalam menghadapi masalah. Kata Jabir bin Abdullah: "Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran". Ini menunjukkan yang solat istikharah itu amat penting untuk diamalkan sebenarnya.

S: Dalam bentuk apakah, seseorang yang telah melakukan solat istikharah untuk mendapat petunjuk?
J: Tajuk ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci esok dan lusa. Tetapi secara ringkasnya, Allah boleh tunjukkan dalam bentuk mimpi atau gerak hati. Kadang-kadang, Allah tunjuk dengan cara dipermudahkan jalan-jalan untuk menyelesaikan sesuatu tugasan.

S: Saya ingin memilih antara 2 gadis untuk berkahwin – A dan B. Kedua-duanya saya suka. Saya sudah solat istikharah dan selalu teringat kepada A. Tetapi saya mengenali A terlebih dahulu sebelum B. Adakah saya mengingati A kerana telah mengenalinya lebih lama atau adakah itu satu petunjuk?
J: Nabi SAW berpesan supaya jangan meninggalkan petunjuk istikharah yang diperolehi.

S: Bilakah waktu solat istikharah yang terbaik?
J: Waktu terbaik ialah pada 2 pertiga malam. Namun begitu, sebenarnya tidak tertakluk pada mana-mana waktu. Boleh dilakukan bila-bila masa kecuali selepas Subuh, dan selepas Asar.