Monday, 31 December 2012


Promosi Maksiat di Facebook & Blog

Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman


api_dosa.jpg
Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkanpelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika dosa memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan. Solat menjadi tidak khusyu' dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan. Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pulaakan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpasinar.
Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka. Jika ia pahala, Alhamdulillah, namun bagaimana jikadosa yang memenuhi buku catatan amalan?.
Melalui artikel ini, sekadar ingin mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah satu punca percambahan dosa. Malah dosa yang kecil boleh berubah wajah kepada Kabair (dosa besar) akibatnya. Tujuan tulisan ini tidak lain agarkita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang dipromosi dan disebarkan.


FILEM, DRAMA DAN DOSA
Perlu kita semua fahami, manusia selain Rasulullah s.a.w tidak akan dapat lari dari dosa.Paling kurang dosa-dosa kecil. Sebagai contoh, dosa-dosa kecil amat mudah diperolehi apabila kita menonton televisyen sama ada melalui tontonan aurat  lelaki wanita di dalam siri drama, filem iklan, hatta berita. Dosa kecil juga boleh berlaku apabila kerananya sekiranya seseorang itu melalaikan tanggungjawab agama yang lain dan pelbagai lagi kekurangan kerananya.
Telah dibincang panjang lebar oleh ulama Islam, TV dan filem adalah neutral, jika digunakan untuk tujuan kebaikan, maka pahala diperolehi, jika keburukan, dosa tentunya.
Sudah menjadi norma hari ini, hampir semua keluarga mempunyai TV walau setinggi manapun tahap keilmuan agamanya. Jika tiada TV, internet juga turut memasuki kebanyakan rumah umat Islam hari ini, segala jenis filem dapat ditontoni melaluinya.
Di ketika saya bersetuju dan tertarik dengan seruan para ilmuan dan pendakwah agar kita memboikot Yahudi Zionis dengan memboikot segala jenis hiburan melalaikan di televisyen atau internet, kerana itu adalah antara agenda penting mereka dalam merosakkan umat Islam. Namun begitu, sebahagian pendakwah ini mungkin terlupa menyedarkan, bahawa filem-filem dan drama yang biasanya ‘box office' karya Hollywood juga adalah karya hedonimse Barat dan Yahudi Zionis. Itu juga sepatutnya diboikot.
Namun, desakan nafsu dan Syaitan kerap mendorong sebahagian kita untuk terus melihat kisah-kisah paparan kreativiti karyawan Barat ini. Walau kita tahu ia bercampur baur adegan dosa ( berpelukan, bercium dan sebagainya) dan pemaparan aurat tentulah amat pasti.
DOSA KECIL YANG MEMBESAR DAN BERGANDA
Benar, secara umumnya, ia mungkin masih dianggap dosa-dosa kecil. Dosa kecil disebut oleh Nabi s.a.w boleh terhapus dengan solat fardhu, solat Jumaat, zikir, istighfar dan pelbagai amalan lain. Namun demikian, dosa kecil seperti itu boleh berganda sehingga adakalanya amalan seseorang tidak lagi mampu memadamkan keseluruhannya.
Bilakah itu?
Ia adalah apabila tontonan kita itu dikongsikan kepada orang lain melalui pendedahan kita sendiri sama ada di ketika bercerita berkenaannya, mungkin dalam ulasan kita. Atau lebih teruk lagi dipamerkan di FACEBOOK sebagai  filem (movies) yang diminati, dramaTV disukai, buku didambai, muzik dikagumi dan sebagainya.
Bagi saya, tindakan mengisi ruang itu dengan sebarang filem yang majoritinya mendedahkan aurat dan bercampur baur pengajarannya adalah sama seperti mempromosikannya, memberikan iklan percuma kepadanya, memaklumkan keredhaan kita terhadapnya.
Mungkin terkecuali jika kita menyiarkan minat kita terhadap movie pengajaran seperti Kung Fu Panda, Toy Stories, Cars, Omar Mukhtar atau dokumentari dan keagamaan seperti National Geographic, Discovery Channel, Berita, Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Halaqah, Akademi al-Quran dan sebagainya.
Memaparkan minat kita rancanganTV atau Movie yang jelas bercampur aduk dosa dalam majoriti adegannya seperti ‘Desparate Housewives', ‘Friends', ‘Pretty Women', ‘Notting Hill', ‘Kuch Kuch Hota Hai', ‘HEROES' dan jutaan lagi filem sepertinya.
Walaupun seseorang itu memang meminati dan menontonnya, namun sedarilah tontonan itu mengakibatkan banyak dosa-dosa kecil. Tontontan itu tanda akibat kelemahan diri kita sehingga terjebak dalam dosa sebegitu.
Memaklumkannya kepada orang lain akan minat kita terhadap filem itu adalah dosa gandaan yang lain. Ia adalah sebuah promosi iklan secara percuma. Malah mendedahkan sokongan kita terhadap movie dan drama bermaksiat Bukan sekadar movies sahaja malah hal yang sama terpakai buat promosi buku, novel, muzik danpublic figure atau artis (khususnya di facebook).
Saya bimbang, keghairahan berkongsi segala-galanya di dalam facebook, blog dan forumakan tanpa sedar mempergandakan dosa  seseorang.
Kecuali jika diyakini dengan ilmu dan iman bahawa pengajaran BAIK dari filem yang ingindikongsi tersebut atau ditanda sebagai ‘like' itu MELEBIHI UNSUR DOSA DAN BURUK. Sebagaimana drama-drama bermesej islam, penuh pengajaran tetapi masih dilakonkan oleh pelakon mendedah aurat. Jika diyakini unsur positifnya melebihi dan negatif, tatkala itu mungkin wujudnya sedikit justifikasi untuk dipapar danditonjolkan dalam senarai drama diminati. Dengan niat agar orang lain turutmendapat pengajarannya.
Selain berkongsi minat terhadap hal yang disebut di atas, ada juga yang mendedahkan dosanyamelalui gambar. Gambar seperti :
  • ketika sedang minum arak,
  • hadiri parti penuh maksiat,
  • hadiri majlis dosa,
  • sedang berpelukan lelaki wanita
  • atau bersentuhan wanita dan lelaki yang bukan mahram (walaupun bagi seorang doktor kerana keperluan, tetapi gambar sedemikian PATUT disembunyikan) 
  • dan sebagainya,
Sekiranyasemua yang disebut tadi dikongsi di facebook dan blog, kita bimbang individu terbabit tergolong di dalam kategori penyebardosa dan pembuka aib diri sendiri. Nabi s.a.w memberi ingatan :-
كل أمتي معافى إلا المجاهرين، وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا، ثم يصبح وقد ستره الله عليه، فيقول: يا فلان عملت البارحة كذا وكذا، وقد بات يستره ربه، ويصبح يكشف ستر الله عليه
Ertinya: Setiap umatku (boleh) diampunkan keucali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahakn ini , melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata :" Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini" maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang(sebelum ini) menutup keaibannya.( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
SEMBUNYIKAN DAN TAUBAT
Justeru itu, jadikanlah dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai musik hedonisme, atau melakukan maksiat secara fizikal kerana zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil ataubesar yang dilakukan di rumah, tersembunyi adalah antara individu terbabit dengan Allah SWT. Tujuannya agar seseorang itu beroleh rahmat Allah dan diberi hidayah untuk bertaubat sebelum maut menjelma. 
Mungkin disebabkan pendedahannya, apabila ia ingin atau telah bertaubat, sukar untuknya untuk memaklumkan kepada semua yang pernah mendengar atau mengetahui pendedahannya agar bertaubat sama,malah taubatnya juga mungkin diragui orang lain atau paling kurang, membawa masalah dalam hati seperti boleh menumbulkan riya'.
Justeru jalan terbaik atas apa jua bentuk dosa yang telahatau pernah dilakukan adalah SENYAP DAN SEMBUNYIKAN. Ia bukan hipokrit !tetapi ia dituntut oleh Allah dan RasulNya dan usahakan bertaubat. Hiprokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini, si pelau dosa hanyalah menyembunyikan dosanya. Tidak timbul persoalan dia cuba mengabui mata orangramai dan berpura-pura baik. Rasulullah bersabda :
اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْأَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْيُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.
Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepadaAllah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azzawa Jalla." [Dikeluarkanoleh al-Hakim dalam al-Mustadrak,hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-duasyaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]
Pengecualiannya hanyalah apabila kes melibatkan aib dan dosa ini diajukan di mahkamah untuk menangani sesuatu kes, atau ketika merujuk kepada kaunselor diyakini untuk membantu dan ilmuan Islam untuk mengetahuihukum dan kaedah pemulihan.
Allah itu maha pengampun dan sentiasa menginginkan kita untuk bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan. Di dalam sebuah lagi hadis sohih disebutkan :-
أن النبيصلى الله عليه وسلم قال : يدني الله عبده المؤمن ، فيضع عليه كنفه ويستره ، فيقول: أتعرف ذنب كذا ؟ أتعرف ذنب كذا ؟ فيقول : نعم ، أي ربِّ ، حتى إذا قرره بذنوبه ، ورأىفي نفسه أنه قد هلك ، قال : سترتها عليك في الدنيا ، وأنا أغفرها لك اليوم 
Ertinya: Nabi bersabda : (Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata : Adakah kamu tahu dosa kamu ini? Adakah kamu sedar dosa ini? Lalu jawab lelaki itu  Ya Wahai Tuhan dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), Allah berkata : Aku telah menutupinya di dunia dahulu ( dari pengetahuan manusia), dan hari ini aku akan mengampunkannya ( Riwayat Al-Bukhari)
Jelas dari hadis di atas, dosa yang dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan Allah di akhirat untuk diampuni. Namun bagi mereka yang telah lebih dahulu berbangga bercerita, mengiklan, promosi dan sebagainya sejak didunia lagi, dibimbangi tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat Allah serta pengampunannya.
KESIMPULAN
Segeralah memadam paparan minat dan keterlibatan terhadap apa jua aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah,Rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredhaan Allah Walau sebanyak, sedalam manapun minat, sejauh manapun keterlibatan, sembunyikan ia, bukan bertujuan untuk menipu manusia lain, tetapi agar dia tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.
Semaklah facebook anda, blog, website, forum dan sembangan harian agar tidak tersalah dan mempergandakan dosa.

Putus Cinta & Persoalan Jodoh

Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman


brokenheart.jpg

SOALAN
Assalamualaikum ustaz
Ustaz saya baru putus cinta baru-baru ini. dan saya sekarang dalam kesedihan. Teman lelaki saya dipaksa emaknya supaya berkahwin dengan sepupunya. Sedangkan dia terlalu sayangkan saya. Tetapi dia mengambil keputusan mengikut cakap mak dia. Ini cerita saya..
Sebelum saya putus dengan dia, saya ada kenal seorang kawan. Dia pandai melihat persamaan nama kita dan pasangan kita. Bila dia matchkan nama saya dengan teman lelaki saya, dia cakap 50-50..teman lelaki saya berbelah bahagi.
Jadi dia minta saya terus berusaha dan berdoa. Kemudian dia ade suruh saya jampi dekat air dan minum selama 4 hari air tersebut. Dia cakap kalau saya buat..saya akan link dengan hati teman lelaki saya untuk melihat samada teman lelaki saya ada perasaan dengan saya atau tidak. Selepas 4 hari saya rasa jiwa kosong. Kemudian dia mengatakan teman lelaki saya sebenarnya dah tidak memilih saya, tetapi emak dia. Keesokkan harinya teman lelaki saya menghantar sms bahawa dia terpaksa memilih emaknya bukan saya.

Soalan saya.
1)Adakah Allah telah memberikan petunjuk pada saya bahawa dia bukan jodoh saya? Adakah saya boleh terus berdoa supaya jodoh saya ialah teman lelaki saya?
2)Apa yang perlu saya lakukan dimana kawan saya itu mengatakan jodoh saya lambat lagi. adakah boleh saya percaya?
JAWAPAN

Saya bersimpati atas kerunsingan dan kesedihan yang menimpa saudari. Saya juga mengetahui kemurungan akibat ‘patah hati’ dan ‘putus cinta’ adalah amat berat kesannya, khususnya ke atas wanita dan sifat naturenya begitu komited apabila telah jatuh cinta. Apapun, anggaplah ia sebagai satu jalan untuk beroleh kebaikan yang lebih dari Allah swt.


Walau menyedari saudari dalam kesedihan, saya masih berkewajiban untuk menerangkan beberapa perkara asas sebelum menjawab soalan yang dikemukan. Kemungkinan ini akan menambah duka di hati saudari, namun perlu kami katakan yang benar walau ianya pahit dan pedih.
Pertamanya ; Ingin saya ingatkan, cinta sebelum kahwin, khususnya dari jenis ‘cinta mendalam' apabila wujud dalam diri yang jauh dari ilmu, kenipisan iman serta pergaulan bebas adalah KUNCI Syaitan merosakkan iman. Kerosakan dengan amat mudah menyelinap masuk melalui perkataan sang pecinta, tulisannya dan lebih merbahaya merasuk perbuatan mereka dan mendorong kepada 'keterlanjuran kemaluan' atau zina. Mata, telinga mereka menjadi buta dan pekak dari segala jenis nasihat baik dari manusia ramai, mereka seolah melayang di dunia berasingan. Akhirnya pemiliknya kerap tersesat di pertengahan jalan.
Kesimpulannya, ‘cinta sebelum kahwin‘ lebih banyak membawa maksiat & keburukan berbanding kebaikan buat pasangan terlibat. Tambahan iu, ia juga BUKAN merupakan punca @ sumber bagi kebahagian rumahtangga (jika dibina sekalipun). malah ia mungkin punca keberantakannya.
Kerana itu di dalam Islam, jika bertunang jangan lama agar perkahwinan itu yang kekal lama. Jika bertunang jangan ber'dating' berdua-duaan kerana ia punca pasangan tidak akan setia.

Keduanya ; Saudari perlu bertaubat dengan sebenar-benar taubat  kerana telah melakukan perkara perbuatan syirik apabila mempercayai tukang tilik bomoh yang menilik perkara ghaib melalui tilikan pada persamaan nama dan yang sepertinya.
Lebih buruk implikasinya pula apabila saudari dan teman lelaki mempercayainya, sehingga mengamalkan amalan syirik yang dibekalkan oleh bomoh syirik itu ( iaitu jampi air dan minum untuk ‘link' hati). Ini tidak lain hanyalah penipuan, kesyirikan dan dosa yang maha besar. Bagi mereka yang mati sebelum sempat bertuabt dari dosa syirik, tempat mereka adalah neraka buat selama-lamanya moga dijauhkan oleh Allah swt. Justeru, segeralah menyedari dan kembalikan kewarasan fikiran dan iman saudari  yang mungkin sedang rosak akibat ‘virus cinta' tersebut.
Juga nasihat saya buat saudari dan semua pembaca agar jangan sesekali mempercayaai mandi bunga, mandi air kolah masjid dari tujuh masjid atau surau dan yang sepertinya, semua itu tidak lain hanya membawa kepada kerosakan aqidah dan kehilangan berkat sepanjang hidup.
Ketiganya : Berkenaan soalan saudari :
1)    Segala dakwaan bahawa dia jodoh saudari atau bukan adalah tidak boleh dipakai sama sekali. Malah jika benar dia berkahwin dengan wanita lain sekalipun, jodoh masih sentiasa terbuka. Tidak mustahil saudari masih lagi merupakannya jodohnya, jika bukan sebegai isteri pertama, mungkin sahaja berkahwin sebagai isteri kedua, tiga atau empat. Jika tidak pun, pintu  kebarangkalian masih ada untuk menjadi isterinya selagi si dia masih hidup, mungkin jodoh itu akan bertemu setelah 20 tahun akan datang. Semuanya adalah ketentuan Allah swt dan tiada siapa boleh meramalknya, menafikan atau mendakwa jodoh atau tidak.
   
2)    Berdoa untuk dikurniakan jodoh dengan seseorang adalah diizinkan oleh Islam. Tiada sebarang dalil yang melarang doa untuk memperolehi sesuatu kebaikan sama ada dunia dan akhirat. Doa untuk dijodohkan dengan seseorang yang dicintai, termasuk di dalam doa untuk mendapat kebaikan dunia. Ia diizinkan dengan syarat dilakukan dengan betul, faham dan bersungguh tanpa disertai kepercayaan syirik, jampi mentera karut marut dan ramalan syirik.
Namun demikian, adalah lebih baik untuk saudari memikirkan bahawa ‘kumbang bukannya seekor', malah mungkin yang jauh lebih baik dari si dia. Tiadalah perlu menyusahkan diri dengan terlalu ‘terikat' dan ‘terpahat' kepada seorang lelaki sahaja. Justeru, adalah lebih baik untuk berdoa agar Allah swt mengurniakan jodoh yang lebih baik dari si dia yang telah terhenti di separuh jalannya. Sebagaimana Ummu Salamah diajar berdoa untuk mendapat yang lebih baik dari suaminya yang syahid, akhirnya beliau dilamar oleh baginda Rasulullah s.a.w. Ya, jauh lebih baik dari seorang sahabat.
   
3) Di dalam Islam, bagi memperkuatkan doa dan permintaan khas kepada Allah swt, kita dibenarkan untuk ber'tawassul' atau menyebut amal soleh yang kita lakukan semasa melakukan doa. Selain itu, dibenarkan juga untuk bernazar untuk melakukan sesuatu jenis kebaikan tambahan jika doa kita dimaqbulkan. Ia semuanya boleh dilakukan berdasarkan nas dan dalil yang jelas, justeru boleh digunakan dalam hal permohonan jodoh ini juga.    
4) Jangan percaya kepada kawan saudari yang menyeleweng lagi boleh membawa kepada syirik itu. Lambat atau cepatnya jodoh tidak boleh diramal. Apa yang penting, Allah swt mengurniakan kepada kita iktihar dan usaha, maka berusaha secara halal untuk memperolehi jodoh yang terbaik buat diri.


Inikah Kita Di Hadapan Allah?

Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

Ramai Lebih Yakin Dengan Kuasa Manusia Dari Kuasa Allah?



"Ustaz, saya kerap tak khusyu' dalam solat saya, walaupun saya faham ketika solat saya berhadapan dengan Allah SWT"
"Cuba ustaz beri sebab yang paling jelas agar saya dapat faham" Demikian permintaan seorang peserta Kursus Penghayatan Solat  kepada saya.
Agak sukar juga untuk memberikan satu jawapan memuaskan, mungkin bagi saya ia sememangnya memuaskan hati, tetapi tidak bagi orang lain. Ini kerana asas ilmu seseroang memainkan peranan penting dalam sebarang jenis kefahaman.
Inilah cabaran dalam menyampaikan risalah Islam, jawapan bagi sesuatu isu itu mungkin ‘straight forward' boleh diperolehi di dalam al-Quran, bagaimanapun cara menyampaikannya perlu dipelbagaikan. Terutamanya Allah SWT menyebut bahawa :
وكان الإنسان أكثر شيئ جدلا
Ertinya : Dan sesungguhnya manusia itu adalah yang paling banyak memperdebatkan ( arahan dan larangan Allah SWT )
Cubaan Saya Menjawab
"Apa pandangan anta jika ada seorang kanak-kanak berumur 1 tahun dibiarkan berada di hujung cerun bangunan 20 tingkat, apa agaknya perasaan kanak-kanak itu?, agaknya dia rasa takut atau tidak berada di situ ?" Tanya saya.
"Sudah tentu dia tak berapa takut ustaz, kita pulak yang takut biasanya" jawabnya dengan yakin.
"Ok, saya nak tanya lagi, apa pula perasaan kanak-kanak tersebut jika dibawa di hadapan seekor harimau yang sedang lapar agaknya?" uji saya lagi.
"sama je ustaz, dia tak endah pun, silap haribulan...mungkin budak tu peluk je harimau tu" sambil ketawa kecil dijawabnya kali ini.
"tepat sekali, bagaimana pula jika anta berada depan harimau yang sama? Takut tak agaknya?"
"mestilah ustaz.." balasnya.
"anta minat durian tak?" saya bertanya.
"uii suka sangat tu, favorite saya" tersengeh pemuda itu, nampak lapar terus dia bila sebut nama durian
"macam mana respond kanak-kanak umur setahun jika letak durian yang tajam kulitnya itu depan mata dia, dia suka macam anta tak?"
"tak la ustaz, mana budak macam tu tahu durian tu sedap..susu je yang dia tahu sedap" jawabnya.
Itulah Jawapan
Itulah jawapan bagi soalan anta tadi, anta tanya saya kenapa anta tak khusyuk dalam solat sedangkan anta tahu sedang berada di hadapan Allah SWT...
"Macam mana tu ustaz" berkerut pemuda ini cuba memahamkan dirinya.
Begini..
Kanak-kanak tadi tidak merasa gerun atau takut berada di hujung cerun bangunan tinggi mahupun di hadapan harimau lapar dan juga tidak bergembira sangat bila diberikan durian yang sedap itu.
Berbanding orang dewasa yang apabila diletakkan di cerun bangunan dan di depan harimau lapar, sudah tentu kita berasa takut dan berlari pecut !. Ini kerana ILMU dan KEYAKINAN kita tentang bahayanya keadaan itu. Malah suasana itu sudah cukup menaikkan hormon Adrenaline kita kita untuk bertindak dengan pantas menjauhkan diri dari suasana bahaya itu.
Berbeza kanak-kanak umur setahun tadi kerana dia masih belum cukup ILMU dan TIADA SEBARANG KEYAKINAN tentang erti bahaya di cerun dan depan harimau, malah dia tiada juga ilmu tentang sedapnya durian itu.
Itulah jawapannya, bila kita mengucapkan di dalam doa iftitah kita
 إني وجهتُ وجهي للذي فطر السموات والأرض حنيفاً مسلماً
Ertinya : "Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku di hadapan pemilik langit dan bumi dalam keadaan sebagai seorang muslim yang suci"
Tidakkah kita merasai kehebatan dan kebesaran Allah SWT, yang merupakan pemilik langit, bumi dan segala isinya. Tidakkah kita dapat merasakan kerasnya bentuk 'azab yang boleh diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia dan lemahnya kita untuk menghadapi sebarang bencana tersebut..tetapi mengapa masih lagi kita tidak khusyu dan hormat serta gerun berada di hadapan Yang Maha Berkuasa seperti ini?
Sedikit Bentuk Azab Allah di atas dunia 
Ia tidak lain, tidak bukan..kerana ilmu umat Islam kini tentang kekuasaan Allah SWT dan keyakinannya terhadap dahsyatnya bentuk azab Allah SWT adalah amat cetek, secetek kanak-kanak berumur 1 tahun tadi.
Justeru, bilakah kita ingin menaikkan ilmu kita ke paras ilmu orang dewasa apabila berhadapan Allah SWT?
Kita kerap bersifat orang dewasa dengan menjaga segala macam pergerakkan, prototol dan segala adab bila berhadapan dengan inidividu berpangkat di dunia. Apakah kerana kita beriILMU dan YAKIN bahawa rezeki kita di pegang oleh orang sebegini?.
Benar, Islam amat menggalakkan menghormati orang lebih tua serta ketua kita. Masalahnya bukan disitu; tetapi ilmu, keyakinan dan hormat kita yang sepatutnya diserlahkan apabila berhadapan dengan Allah SWT kelihatan diserap hebat oleh penghuni dunia dan isinya, sehingga yang berbaki untuk Allah SWT adalah sisa-sisa perasaan hati sahaja.  
Padahal, seluruh milik mereka adalah sementara dan semua kita adalah amat amat lemah.
Cita-cita mendewasakan iman dan ilmu terhadap Allah SWT ini tidak akan dapat sama sekali dicapai dengan perangai malas membaca dan menghadiri kuliah agama.
Konsert dan akademi di banjiri, web melalaikan ditumpui tetapi kuliah dijauhi. Inikah inidividu yang mendakwa ingin berada di syurga Allah bersama para Nabi dan menikmati nikmat yang tiada tamanya..
Inikah usaha kita untuk memperolehi nikmat berpanjangan akhirat?.
Inikah kita?
Inikah kita bila berhadapan dengan hukuman larangan Allah dari dosa riba yang maha besar serta seluruh larangan Islam yang lain..masih ingin berdebat walaupun sedar, ia hanyalah untuk menegakkan benang basah dan meneruskan bisnes diri.