Wednesday 20 March 2013

BATAS-BATAS AURAT DALAM ISLAM

Abu Anas Madani
BATAS-BATAS AURAT DALAM ISLAM

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد.

Aurat dari segi bahasa; ialah keaiban.
Manakala dari segi istilah Syarak; ialah bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia yang wajib ditutup.
Jadi, aurat bermaksud bahagia-bahagian tertentu yang wajib dilindungi daripada pandangan orang ajnabi (orang yang boleh berkahwin dengannya) kerana perbuatan tersebut dianggap suatu yang mengaibkan di sisi agama Islam.
AURAT KETIKA BERSENDIRIAN
1. Ulama’ Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat: “Sebagaimana dilarang seorang mukallaf (orang yang dituntut beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian juga dilarang mendedahkan auratnya ketika ia bersendirian kecuali ketika dharurat atau terpaksa dibuka seperti ketika qadha’ hajat atau ketika mandi. Ketika dharurat diharuskan membukanya”.
2. Sementara Ulama’ Mazhab Maliki dan Syafi’ie berpendapat: “Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya hanya makruh kecuali ketika dharurat kerana ketika dharurat diharuskan membukanya”.



BATAS-BATAS AURAT LELAKI
Rasulullah SAW bersabda:

عنِ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
((لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ)) [صحيح مسلم]
Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian”. [HR Muslim].


Ulama mempunyai pelbagai pendapat dalam hal had atau batas aurat lelaki ini;

1. Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat: “Lelaki diwajibkan menutup auratnya di antara pusat hingga lutut daripada dilihat oleh lelaki atau perempuan yang bukan mahramnya kecuali kepada isterinya. Selain dari isterinya diharamkan melihat aurat di antara pusat hingga lututnya”.
Isteri boleh (harus) melihat aurat suami kecuali pada kemaluan kerana melihat kemaluan masing-maisng adalah MAKRUH.


     2. Imam Malik dan Imam Syafi’ie berpendapat: “Aurat lelaki ada dua keadaan:

(1) Auratnya dengan sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya. Auratnya ialah di antara pusat hingga lutut sahaja.
(2) Auratnya dengan perempuan yang bukan mahramnya.
Auratnya adalah seluruh tubuh badannya.
[Rujuk Kitab al-Fiqh ’Ala al-Mazahib Al-Arba’ah, jilid 1 dalam bab Mabhas Sitr Al-Aurah].


BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI
Para Ulama’ bersepakat berpendapat bawah aurat perempuan kepada lelaki yang bukan MAHRAMNYA ialah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT adalam surah An-Nur ayat 31, Al-Ahzab ayat 53 dan ayat 59 serta riwayat beberapa buah hadith.
Firman Allah SWT:

{وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ}
Maksudnya: {Dan janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka hingga ke bawah dada}. [An-Nur: 31].

Firman Allah SWT

{يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا} الأحزاب (59)

Maksudnya: {Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuan kamu serta kepada para isteri orang mukmin sekalian, hendaklah menghulurkan JILBAB mereka ke seluruh tubuh badan mereka kerana dengan itu mereka akan mudah dikenali (sebagai wanita mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang}. [Al-Ahzab: 59].

Firman Allah lagi:

{وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ} الأحزاب (53)

 yang bermaksud: {Apabila kamu bertanya atau meminta sesuatu keperluankepada mereka (isteri-isteri Nabi SAW), maka hendaklah di sebalik tabir. Cara demikian adalah lebih mensucikan hati kamu dan hati mereka …} [Al-Ahzab: 53]


Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari disebut riwayat dari Ibn Syihab dari ’Urwah dan dari Aishah, R.anha berkata:
“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada wanita-wanita Muhajirin yang mulia iaitu tatkala Allah menurunkan ayat 31 surah An-Nur, mereka teus mengoyak kain selendang lalu menutup diri mereka dengannya”. [Tafsir Ibn Kathir juz 3 halaman 284]
HR Abu Daud daripada Saidatina Aisyah R.anha bahawa suatu hari kakaknya iaitu Asma’ binti Abu Bakar datang mengadap Rasulullah SAW sedangkan ia berpakaian nipis (jarang). Melihatkan keadaan itu, Rasulullah SAW terus berpaling muka dan bersabda maksudnya: “Wahai Asma’, apabila seorang wanita telah sampai masa haid (baligh), maka lelaki ajnabi tidak boleh melihatnya, kecuali kadar had ini (Rasulullah SAW mengisyaratkan pada muka dan kedua tapak tangannya).”


BATAS AURAT WANITA MENURUT ULAMA’ MAZHAB:
Antara batas aurat wanita yang telah ditetapkan oleh syariat menurut pendapat dan fatwa mazhab ialah;

1. Di hadapan lelaki bukan mahramnya ialah seluruh tubuh. Maksudnya semua termasuk rambutnya, mukanya, kedua tapak tangannya zahir dan batinnya juga kedua tapak kakinya. Hukum ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat”. (HR Al-Bazar dan At-Tirmizi).

2. Semasa seorang diri atau di hadapan lelaki mahramnya atau di hadapan wanita Islam yang baik akhlaknya, batas auaratnya adalah antara pusat hingga lutut. Walau bagaimanapun, bagi menjaga adab serta memperhalusi akhklak ketika berhadapan dengan lelaki yang mahramnya, eloklah wanita itu menjaga dan menutup auratnya yang selain dari pusat hingga lutut agar tidak menimbulkan ghairah kepada lelaki walaupun darjatnya mahrahm dengannya. Lebih-lebih lagi ditakuti akan timbul fitnah, kes sumbang mahram dan lain-lain.

3. Di hadapan wanita kafir dan wanita yang rendah akhlaknya, aurat wanita itu adalah seluruh tubuh kecuali anggota yang zahir ketika bekerja iaitu kepala, muka, leher, dari dua tapak tangan hingga ke siku sahaja dan dua tapak kakinya. Selain itu adalah diharamkan membukanya.

4. Aurat wanita sahaya (hamba) kepada lelaki yang mahram dengannya dan sesama perempuan auratnya adalah dari pusat hingga lutut. Dengan lelaki bukan mahram dengannya (ajnabi) auratnya adalah seluruh tubuh badan.


Penjelasan-penjelasan ulama tentang batas-batas aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram). 
Perbezaan pendapat;

1. MAZHAB SYAFI’IE: ada 2 qaul;

a) Qaul pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Qaul ini adalah qaul yang paling soheh dalam Mazhab Syaf’ie.

b) Qaul kedua: Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedah muka dan dua tapak tangan boleh menimbulkan fitnah kepada wanita itu, maka ketika itu wajiblah menutup seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Fitnah iaitu ( ”apa yang lahir pada dirinya yang mana dengan melihatnya boleh mendatangkan nafsu syahwat).



2. MAZHAB HAMBALI: ada 2 qaul;

a) Qaul pertama: Semua anggota wanita adalah aurat tanpa kecuali kepada lelaki ajnabi.

b) Qaul kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Tapi jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.



3. MAZHAB HANAFI: ada 2 qaul;

a) Qaul pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.

b) Qaul kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan dan dua tapak kaki.



4. MAZHAB MALIKI: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.


SIAPAKAH YANG DIKATAKAN GOLONGAN MAHRAM BAGI WANITA.

1.     Bapa sendiri ( bapa kandung).

2.     Bapa suami (bapa mertua).

3.     Anak lelaki.


4.     Anak lelaki suaminya (anak tirinya atau anak isteri lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau meninggal) tetapi bukan anak dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.

5.     Saudara lelaki (adik atau abang seibu sebapa atau seibu sahaja atau sebapa sahaja).

6.     Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara).

7.     Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara).

8.     Kanak-kanak lelaki yang bukan mahram yang belum mengerti tentang aurat wanita (belum mumayyiz).

9.     Anak lelaki susuan.

10.  Bapa susuan.

11.  Saudara susuan.

12.  Bapa saudara sususan, datuk saudara susuan hingga ke atas, dan anak saudara susuan hingga ke bawah.

13.  Menantu lelaki.





DIBOLEHKAN LELAKI BUKAN MAHRAM MELIHAT AURAT WANITA DALAM BEBERAPA KEADAAN.

1. Ketika hendak meminang. Kadar sempadan aurat yang hendak dilihat ialah muka dan kedua tapak tangan sahaja.

2. Ketika berjual beli.

3. Doktor atau tabib bertujuan mengubat.

4. Ketika hendak menjadi saksi.

5. Ketika mengajar.


Beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh ramai Muslimah samada mereka sedar atau tidak:

1) Berpakaian ketat dan menampakkan beberapa bahagian anggota tubuh.

2) Menyerupai pakaian lelaki seperti berseluar panjang dan berkemeja.

3) Menyerupai pakaian wanita-wanita kafir seperti fesyen-fesyen terkini yang jelas bercanggah dengan cara berpakaian Muslimah.

4) Tidak menutup sebahagian anggota tubuh. Ada yang nampak telinganya, nampak lehernya, nampak rambutnya, nampak lengannya, nampak kakinya dan sebagainya.

5) Pakaian tersebut penuh dengan perhiasan.

6) Kainnya nipis sehingga boleh dilihat walaupun kain tersebut menutup auratnya.

7) Pakaian yang dipakai mempunyai ciri-ciri kemahsyuran, ke’glamour‘an dan nilai-nilai kesombongan orang yang memakainya.



Mudah-mudahan dengan tersenarainya beberapa hal di atas, kita mendoakan agar saudara-saudara Muslimah kita semua dapat berubah dan mengambil tindakan untuk memperbetulkannya. Bukan mereka semua sengaja mahu langgar, tapi kadang-kadang akibat salah faham dan pengaruh sekeliling, maka mereka keliru dan jauh dari petunjuk agama.


Pakaian Muslimah yang betul dan tepat dengan kehendak syariat Islam ialah:

1) Menutup semua bahagian tubuh melainkan muka dan tapak tangan.

2) Pakaian tersebut tidak mempunyai ciri-ciri perhiasan yang boleh menarik perhatian.


3) Mestilah kainnya tebal. Mestilah tidak tembus cahaya dan tidak boleh nampak anggota tubuh.

4) Mestilah longgar (tidak ketat), supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.

5) Tidak berwangi-wangian.

6) Tidak menyerupai pakaian lelaki.

7) Tidak menyerupai pakaian wanita kafir.
8) Pakaian tersebut mestilah tidak melambangkan kemasyhuran atau kesombongan.

Saturday 9 March 2013

"Mulakan sunnah Nabi SAW di rumahmu"

Habib Kadzim bin Jaafar As-Saggof
Majlis Ta'lim Darul Murtadza


Segala puji bagi Allah yang menghimpunkan kita ini untuk mencari rahmat dari Allah Ta’la. Yang akan diberi oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan juga bergantung kepada hubungan orang itu yang dengan Nabi SAW. Rahmat itu akan terlihat pada umat ini dengan mereka mudah meniru akhlak Nabi SAW, dan mereka berusaha menghidupkan sunnah Nabi SAW, dan bergerak menyebarkan dakwah Nabi SAW ke seluruh pelusuk dunia.
Tentunya rahmat yang diberikan Allah SWT kepada kita bukan hanya nampak di dunia, tetapi akan nampak lebih jelas nanti di akhirat. Yang demikian itu telah diberitakan oleh Nabi SAW sebagai berita gembira kepada mereka yang hadir dalam majlis seumpama ini, akan diseru oleh malaikat kepada mereka yang hadir, “Bangkitlah dan bersurailah dalam keadaan dosa kamu telah diampunkan dan digantikan sebanyak dosa itu dengan kebaikan dari Allah”.

Akan nampak kejelasan keberkatan majlis seumpama ini di akhirat nanti bilamana kita nampak dosa yang kita lakukan di dunia digantikan dengan kebaikan. Orang yang hadir dalam majlis ini akan mendapat keberkatan secara langsung di dunia iaitu mendapat keterangan cahaya dari Allah dalam hati dan sanubarinya. Bukan sekadar dosa diampunkan dan diganti dengan kebaikan, tetapi seseorang itu akan diangkat darjatnya sentiasa oleh Allah Ta’ala dengan dia melazimkan diri menghadiri majlis sebegini.
Oleh itu, saya menyeru semua yang hadir untuk membuka hati untuk menerima rahmat dari Allah, dan mengambil bahagian daripada rahmat yang diturunkan oleh Allah, dengan kita memperbaharui taubat, dan berazam untuk berkhidmat kepada Nabi SAW dan mengembangkan agama Islam. Ini adalah peluang kita mendapatkan kedudukan tinggi (spiritual) di sisi Allah.
Rahmat tersembunyi yang diberi Allah SWT akan dapat dirasai melalui:
1. Berusaha dan berupaya memperbaharui taubat kita sepanjang masa
2. Berazam menghidupkan sunnah Nabi SAW selagi hidup
Seseorang itu perlu memulakan dengan diri dan keluarga dahulu, sehingga rumahnya tersinar dengan sunnah Nabi khususnya sunnah lazim yang Nabi buat setiap hari, contohnya:
  1. Ketika masuk rumah, Nabi SAW melangkah masuk dengan kaki kanan dahulu, 
  2. mengucapkan salam kepada ahli keluarganya, 
  3. dan membaca surah Al-Ikhlas sebelum masuk.

Bacaan surah dan sunnah ini akan memberi kesan kepada rumah dan ahli keluarganya.Rumah anda juga akan tersinari dengan surah Al-Ikhlas, dan akan nampak kesan bacaan Al- Quran di dalam rumah tersebut. Di dalam hadis Nabi SAW ada menyebut bahawa akan nampak keberkesanan bacaan surah Al-Ikhlas itu dengan diangkat kefakiran daripada ahli rumah dan jiran-jirannya.
Salam pula akan membawa ketenteraman dan ketenangan, kesan daripada keberkatan ucapan itu. Oleh itu, ketika masuk, ucapkan salam kepada sesiapa saja, walaupun jika tiada orang di rumah, tetap berikan salam walaupun pada diri sendiri.
Bilamana anda menyampaikan, salam kepada diri sendiri, sebenarnya anda telah memberi hak kepada diri anda. Bila dilengkapkan dengan makanan dan minuman, maka anda telah meninggikan darjat di sisi Allah. Dan apa saja yang dilakukan di dalam rumah anda akan meninggikan lagi darjat anda di sisi Allah SWT. Nabi Muhammad SAW telah menyebut perkara itu dalam hadis yang sahih. Baginda bersabda, “Sesungguhnya diri anda mempunyai hak ke atas anda, keluarga mempunyai hak ke atas anda, jiran mempunyai hak ke atas anda dan tetatmu mempunyai hak ke atas anda”.
Dengan menunaikan hak-hak diri, anda telah meninggikan darjat anda dan semakin menghampirkan diri di sisi Allah, dan anda juga telah menyelamatkan diri daripada perkara yang melalaikan. Anda akan merahmati diri sendiri dengan ketaatan itu seperti bangun malam dan juga melakukan ibadat lain. 

Anda tahu jika anda tak makan/minum, maka anda akan sakit. Demikian juga jika jiwa anda tak diberi haknya dengan zikir dna ibadah yang lain, maka jiwa anda akan sakit kerana haknya tak dipenuhi. Kedudukan zikir kepada jiwa seumpama oksigen kepada manusia. Tanpa oksigen, berapa lama manusia dapat bertahan?
Begitulah jika jiwa ditegah daripada ‘oksigen spiritual’. Berapa ramai orang yang hidup tetapi jiwanya mati apabila tidak diberikan hak-hak daripada ibadah yang telah ditentukan Allah Ta’ala. Antara perkara yang dapat menghidupkan jiwa ialah Qiyammullail, walaupun hanya seminit atau beberapa saat. Walaupun anda cuma bangun sekejap saja, anda akan dapat menghirup oksigen spiritual yang Allah turunkan khususnya pada sepertiga malam.
Kalau qiyammullail ditinggalkan, anda sebenarnya telah mengharamkan pemberian yang begitu besar daripada Allah kepada diri anda. Nabi SAW menyatakan bahawa kebahagiaan jiwa boleh diperolehi dengan solat malam. 
Dalam hadis, Nabi bersabda bahawa orang yang bangun Qiyyamullail akan  bangkit dalam keadaan jiwa yang baik dan tubuh badan yang segar. Perhatikan bagaimana Nabi kaitkan antara kebahagiaan jiwa dengan tubuh badan yang sihat. Sebaliknya pula, orang yang tidak bangun malam, maka dia bangkit dalam keadaan jiwa tak baik dan malas.
Bilamana jiwa seseorang tidak baik dan malas, maka dia akan susah diajak beribadah, tak nampak kebaikan pada diri, dan akhlaknya. Apabila dia memberi bahagian jiwa dengan Qiyyamullail, jiwanya akan baik dan semakin banyak beribadah dan menteladani Nabi SAW.
Tidak dinafikan lagi bahawa Allah SWT menurunkan rahmat itu pada kamu yang meraikan Nabi SAW dalam majlis seperti ini. Majlis-majlis seperti ini dan seumpamanya adalah pembuka kepada curahan rahmat Allah SWT sepertimana turunnya hujan ke muka bumi ini.
Bagi mereka yang hati dan jiwanya tersinari dengan amalan-amalan zikir, mereka akan merasakan acara ini seperti hidangan yang mewah dan yang dicari-cari, iaitu hidangan yang memuaskan hati dan jiwa mereka. Mereka lebih menyukai majlis ini daripada orang yang suka majlis yang melalaikan.
Tengok bagaimana seseorang yang suka bola – walaupun tengok 3 jam, dia tak rasa bosan pun, walaupun perbuatan itu tak memberi makanan pada jiwanya. Bilamana anda mendapat rahsia majlis ini, anda takkan rasa bosan walau kena duduk sehingga fajar. Di Mesir, ada majlis zikir yang dibuat daripada selepas Isyak sehingga waktu Fajar, sepanjang malamnya dipenuhi dengan zikir kepada Allah. Kenapa mereka boleh tahan berzikir sebegitu lama? Sebahagian daripada kita mungkin bertahan selama 6 jam dan akan merasa bosan selepas itu, akan tetapi sebahagian lain yang menemui rahsianya takkan pernah merasa bosan.
Secara amnya, ada manusia yang mempunyai kelebihan iaitu mereka tak merasa bosan kerana telah menemui rahsia ibadat tersebut. Begitu juga dengan amalan solat biasa. Oleh sebab itu, kita tidak perlu hairan apabila mendengar bahawa Syeikh Qadir Al-Jailani itu solat 1000 rakat pada waktu malam. Ini kerana dia suka melakukannya dan telah menemui rahsia solat dan dengan itu tidak merasa bosan dengan ibadah itu. Kita pun tak merasa hairan jika orang seperti Imam Ali Zainal Abidin yang bangun solat 1000 rakaat setiap malam, kerana mereka telah menjumpai rahsianya. Kita hari ini 50 rakaat pun takkan tahan dan akan mula mengelak mencari amalan selain solat selepas itu.
Syeikh Nuruddin, guru kepada Imam Asy-sha’roni menceritakan bahawa beliau berselawat 500 ribu kali pada setiap malam. Kenapa dia boleh melakukannya? Kerana dia sukakan kepada selawat itu. Kita pula hari ini, selepas 500 kali sudah rasa bosan, bahkan tasbihnya pun dilempar jauh-jauh. Kenapa? Kerana dia tak sukakan kepada selawat itu. Jika dia menyukai dan menghayati selawat itu, maka dia akan boleh menyamai seperti Syeikh Nuruddin.
Imam Abu Hanifah membaca dan mengkhatam Quran dalam masa 2 rakaat – tanpa rasa bosan, ataupun mengheluh. Kita pula bagaimana? Berapa juzukkan kita tahan membacanya setiap hari? Kalau anda tergolong dalam kumpulan yang asyik baca Quran sampai terlupa aktiviti lain, maka terimalah berita gembira bahwa anda adalah orang-orang yang tinggi darhatnya.
Seorang ulama besar di Hadramaut, bernama Al-Habib Hasan bin Soleh Al-Bahra, membaca 90 ribu kali surah Al-Ikhlas sehari. 90 ribu, bukan 9 ribu! Berapa kalikah anda membacanya? Surah ini pendek, mudah dan disukai Allah Ta’ala. Keberkatannya akan membawa pelbagai anugerah dan menyamai 1/3 Al-Quran. Surah ini mudah dibaca dengan lidah berbanding surah lain. Setiap surah ada keistimewaan tersendiri, bahkan setiap ayat juga. berapa kali anda dan saya membacanya? Jika dibaca, anda akan menjadi orang yang dikasihi Allah. 
Oleh kerana itu, bila bangun malam, jiwa kita sukakan ibadah seperti itu dan hati kita akan tersinari dengan ibadah itu. Bila kita sukakan kepada ketaatan dan suka membaca Al-Quran, maka pada hakikatnya anda cintakan Zat yang menciptakan ibadah itu iaitu Allah. Inilah bentuk-bentuk anugerah batiniah, yang mudah dan ringan untuk mendapatkannya.
Pada permulaan, mulakan dengan 1 minit setiap malam - gunakan ‘alarm’ untuk mengejutkan anda bangun dan sekadar berzikir:
Ini akan menjadi pembuka kepada jiwa anda untuk mendapat cahaya. Maka anda akan menjadi sihat, gembira dan tenang. Walaupun anda dalam kesusahan, anda akan lupakan masalah itu apabila anda bangun malam, biarpun pun masalah itu banyak sekalipun. Apabila bangun malam, roh anda akan terbuka untuk menerima pemberian dan akan mendapat makan untuk roh. Apabila roh semakin kuat, maka keesokannya anda akan merasa sihat, tenang dan seolah-olah tiada masalah. Tetapi jika anda tidak bangun untuk Subuh, walaupun satu minit, takkan ada ketenanan pada roh dan jiwa anda. Ini kerana ketenangan itu datang daripada dekatnya roh itu dengan Allah. 
Maka, marilah kita mengambil keberkatan yang zahir daripada majlis ini. Adapun, keberkatan yang tersembunyi adalah terlalu besar di sisi-Nya. Apa saja nama majlis yang diadakan kerana gembira dengan Nabi SAW, gembira dengan kelahirannya, untuk memperingatinya, dan mengingatkan umat kepada baginda Nabi SAW, mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah SWT. Ketika seseorang itu melazimkan diri menghadirkan diri ke majlis sebegini, walau apa pun nama majlis yang diberi, mereka akan diberi husnul khotimah iaitu dapat mengucapkan ‘La ila ha illallah” ketika pengakhiran umurnya. Itulah punca pemintaan orang-orang yang soleh. Tetapi Allah memberi lebih daripada itu iaitu Allah menggantikan dosa dengan kebaikan. 

Majlis ini amat disukai Allah, dan tiada yang menjauhi majlis ini kecuali orang yang hatinya gelap. Apabila diperdengarkan selawat kepadanya, ianya tidak dapat menyinari hatinya. Mana-mana orang Islam yang diberi cahaya di dalam hatinya dan berselawat 1000 kali pagi dan malam, hatinya pasti akan mendapat keberkatan dan rahsia qabul daripada Allah SWT.

Jika anda kenal rakan yang tidak hadir atau berani mengatakan majlis ini ialah biadaah, beritahu padanya - "saya punya ubat mujarab iaitu selawat pada Nabi 1000 kali pagi dan malam selama 40 hari". Setelah itu, akan nampak sinaran selawat pada hati mereka. Maka orang yang tak suka pun akan datang walaupun dengan merangkak. Pada mereka yang tetap tak mahu berselawat dan mengatakannya bidaah, maka kegelapan hati akan menghalang merasai keberkatan majlis ini. Maka tidak akan terangkan kegelapan itu kecuali dengan cahaya, dan cahaya itu ada di dalam selawat kepada Nabi SAW. 

Kita berdoa agar kita dimasukkan kedalam golonngan yang diqabulkan Allah Ta’ala, sepertimana Allah menghimpunkan kita bersama dalam majlis ini kerana gembira dengan Nabi SAW, moga-moga Allah berikan kegembiraan kepada kita dengan anugerah yang besar dan sebagaimana kita semua datang kerana gembira dengan Nabi SAW, kita berdoa agar kita bersurai dalam keadaan dikekalkan kegembiraan itu oleh Allah SWT. 

Sebagai rumusan: jangan lupa sunnah Nabi SAW ketika masuk rumah – masuk dengan kaki kanan, beri salam dan baca Quran sebelum masuk rumah. Minggu lalu telah saya sebutkan bahawa setiap daripada kita berkongsi agar bala diangkat oleh Allah daripada seluruh ummah. Oleh itu, amalkan doa dan istighfar untuk seluruh mukminin dan mukminat. 

Siapa yang ingat, saya akan beri hadiah besar, tetapi hadiah daripada Allah lebih besar iaitu 1.5 bilion ganjaran hasanah (sebanyak jumlah umat Islam yang ada). Anda juga akan dapat merasai hubungan anda dengan kaum muslimin yang lain. Anda gembira dengan kegembiraan mereka, dan sedih dengan kesedihan mereka. Anda akan mendoakan kebaikan untuk mereka dan terselamat daripada sifat keegoan yang merupakan ajaran syaitan. Di dalam solat, kita memohon – ‘Berilah kami jalan yang lurus”, bukannya “Berilah aku..”. Semoga Allah memenuhi hati kita dengan keimanan dan ketaatan, dan digolongkan kita ke dalam golongan orang-orang yang soleh, yang aman, yang tenang, yang mendapat berita gembira. //Doa//.

Disiplin Menerima Ilmu Melalui Ceramah

Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

Saya ingin menasihati  anda agar  mengambil ilmu dari pelbagai sumber dan penceramah. Namun anda perlu melihat latarbelakang penceramah tersebut dan jangan hanya terikut-ikut dengan populariti seseorang.

Terdapat ramai penceramah dan ilmuan yang tidak popular di sisi masyarakat namun mampu memberikan ilmu yang amat mantap dan baik kepada pendengarnya.
Terdapat juga penceramah yang tidak begitu mahir dalam menyusun ayat-ayat atau menyelitkan lawak-lawak jenaka, namun isi kuliahnya adalah amat cemerlang.
Justeru, pelbagaikanlah dan janganlah terhenti hanya kepada penceramah satu aliran. Nilailah setiap ceramah dari mereka yang pakar dengan adil. Buangkan isi-isi hodoh yang diungkapkannya, campakkan sikap memaki dan merendah jika ada terselit dalam ceramah mereka. Cukuplah manfaatkan yang baik darinya. Lihatlah kepada positifnya berbanding yang negatifnya. Janganlah merasa pelik dengan sikap sebahagian penceramah yang kelihatan bukan dari akhlak Islam, ini adalah kerana mereka juga manusia biasa yang punyai kelemahan dan dosa. Manfaatkan yang positif, buangkan yang buruk.
Firman Allah SWT :-
الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ

Ertinya : yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal ( Az-Zumar : 18)
Beberapa displin menerima kandungan ceramah :-
1) Semak latar belakang penceramah dan kenali bidang apakah kepakaran beliau. Imam Malik Bin Anas berkata :
إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون
Ertinya : " Sesungguhnya pengambilan ilmu ini adalah agama, maka telitilah dari mana kamu ambilinya (ilmu) agamamu "  ( Siyar A'lam An-Nubala, 5/343)

2) Dapatkan komen dari ilmuan lain yang tidak ‘memusuhi' penceramah yang anda ingin dengarinya.  Ia penting untuk mendapatkan gambaran akan siapakah ia dan sejauh manakah info yang disampaikannya boleh diterima pakai.
3) Mendengar dengan faham penerangan sehingga habis dan tidak memotong separuh-separuh kerana ia mungkin sahaja akan menyebabkan perkataan penceramah difahami di luar konteksnya. Petikan-petikan di youtube biasanya kurang dari 10 minit, justeru kemungkinan ia di luar konteks adalah wujud dan perlu berhati-hati mengambilnya.
4) Jangan ambil serius sebarang cercaan yang dilontarkan oleh penceramah kepada mana-mana tokoh dan individu lain. Kebanyakkannya dilontarkan secara tidak adil dan salah faham semata-mata.
5)  Mendengar satu ceramah dari mula sehingga habis dalam satu masa. Jika anda mendengar sekerat dan sekerat, ia menjauhkan anda dari mendapat kefahaman bermanfaat dari ceramah tersebut.
6) Sebaiknya, dapatkan penceramah yang mampu mengutarakan isi yang disertai dengan ayat dan hadis secara nasnya.  Ia adalah sebaik-baiknya kerana ia akan mendekatkan anda dengan sumber asas. Namun, mempunyai nas tidak semestinya intrepetasinya dan penggunaannya adalah betul dan tepat. Tidak dinafikan terdapat penceramah yang tidak membaca sebarang nas, tetapi semua kandungannya bertepatan dengan al-quran dan hadis. Kesimpulannya, kebijaksanaan anda dalam memilih adalah amat perlu dalam hal ini.
7) Setelah mendapat sesuatu ilmu atau kesimpulan dari sesuatu ceramah, janganlah terlalu taksub atau ikut sehingga mengunci fikiran dan minda dari sebarang pandangan ilmuan lain yang berbeza.
8) Sampaikan ilmu yang diperolehi dengan amanah dan tidak mengubah suainya sesuka hati serta menisbahkannya kepada penceramah asal. Ia dengan mudah boleh mengakibatkan salah faham dan kesan buruk kepada penceramah asal. Banyak terjadi, sesuatu dakwaan dinisbahkan kepadanya sedangkan ia adalah hasil ubahsuai pendengar atau anak muridnya.