Saya ingin menasihati anda agar mengambil ilmu dari pelbagai sumber dan penceramah. Namun anda perlu melihat latarbelakang penceramah tersebut dan jangan hanya terikut-ikut dengan populariti seseorang.
Terdapat
ramai penceramah dan ilmuan yang tidak popular di sisi masyarakat namun
mampu memberikan ilmu yang amat mantap dan baik kepada pendengarnya.
Terdapat
juga penceramah yang tidak begitu mahir dalam menyusun ayat-ayat atau
menyelitkan lawak-lawak jenaka, namun isi kuliahnya adalah amat
cemerlang.
Justeru,
pelbagaikanlah dan janganlah terhenti hanya kepada penceramah satu
aliran. Nilailah setiap ceramah dari mereka yang pakar dengan adil.
Buangkan isi-isi hodoh yang diungkapkannya, campakkan sikap memaki dan
merendah jika ada terselit dalam ceramah mereka. Cukuplah manfaatkan
yang baik darinya. Lihatlah kepada positifnya berbanding yang
negatifnya. Janganlah merasa pelik dengan sikap sebahagian penceramah
yang kelihatan bukan dari akhlak Islam, ini adalah kerana mereka juga
manusia biasa yang punyai kelemahan dan dosa. Manfaatkan yang positif,
buangkan yang buruk.
Firman Allah SWT :-
الَّذِينَ
يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ
هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ
Ertinya
: yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di
antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk
dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal ( Az-Zumar : 18)
Beberapa displin menerima kandungan ceramah :-
1) Semak latar belakang penceramah dan kenali bidang apakah kepakaran beliau. Imam Malik Bin Anas berkata :
إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون
Ertinya
: " Sesungguhnya pengambilan ilmu ini adalah agama, maka telitilah dari
mana kamu ambilinya (ilmu) agamamu " ( Siyar A'lam An-Nubala, 5/343)
2) Dapatkan komen dari ilmuan lain yang tidak ‘memusuhi' penceramah yang anda ingin dengarinya. Ia penting untuk mendapatkan gambaran akan siapakah ia dan sejauh manakah info yang disampaikannya boleh diterima pakai.
3) Mendengar dengan faham penerangan sehingga habis dan tidak memotong separuh-separuh kerana ia mungkin sahaja akan menyebabkan perkataan penceramah difahami di luar konteksnya. Petikan-petikan di youtube biasanya kurang dari 10 minit, justeru kemungkinan ia di luar konteks adalah wujud dan perlu berhati-hati mengambilnya.
4) Jangan ambil serius sebarang cercaan yang dilontarkan oleh penceramah kepada mana-mana tokoh dan individu lain. Kebanyakkannya dilontarkan secara tidak adil dan salah faham semata-mata.
5) Mendengar satu ceramah dari mula sehingga habis dalam satu masa. Jika anda mendengar sekerat dan sekerat, ia menjauhkan anda dari mendapat kefahaman bermanfaat dari ceramah tersebut.
6) Sebaiknya,
dapatkan penceramah yang mampu mengutarakan isi yang disertai dengan
ayat dan hadis secara nasnya. Ia adalah sebaik-baiknya kerana ia akan
mendekatkan anda dengan sumber asas.
Namun, mempunyai nas tidak semestinya intrepetasinya dan penggunaannya
adalah betul dan tepat. Tidak dinafikan terdapat penceramah yang tidak
membaca sebarang nas, tetapi semua kandungannya bertepatan dengan
al-quran dan hadis. Kesimpulannya, kebijaksanaan anda dalam memilih
adalah amat perlu dalam hal ini.
7) Setelah mendapat sesuatu ilmu atau kesimpulan dari sesuatu ceramah, janganlah terlalu taksub atau ikut sehingga mengunci fikiran dan minda dari sebarang pandangan ilmuan lain yang berbeza.
8) Sampaikan
ilmu yang diperolehi dengan amanah dan tidak mengubah suainya sesuka
hati serta menisbahkannya kepada penceramah asal. Ia
dengan mudah boleh mengakibatkan salah faham dan kesan buruk kepada
penceramah asal. Banyak terjadi, sesuatu dakwaan dinisbahkan kepadanya
sedangkan ia adalah hasil ubahsuai pendengar atau anak muridnya.
No comments:
Post a Comment