Sunday 28 July 2013

Erti CINTA?

gugur bunga 300x225 Makna Cinta

Apa itu cinta?
Dengan siapa?
Bagaimana rasanya?
Boleh ke?
Semua soalan ini berlegar-legar di benak fikiran setiap insan terutamanya golongan remaja. Cinta itu sesuatu yang suci dan ianya pemberian dari yang Maha Esa. Allah s.w.t telah mencampakkan rasa cinta kepada setiap makhluknya termasuk haiwan. Cuma mereka tidak mempunyai akal untuk merasai cinta. Bersyukurlah kerana dapat merasa nikmat yang tidak terhingga ini!

Sering kali kita mendengar pepatah ‘cintakan bunga kan layu, cintakan manusia kan mati, cintakan Allah kekal selamanya’. Daripada pepatah ini kita dapat memahami maksudnya dengan mudah. Sedalam mana pun cinta kita pada sesuatu yang dicipta tidak akan kekal melainkan kita melabuhkan cinta pada yang mencipta iaitu Allah s.w.t.

Tetapi lihat realitinya  pada zaman siber ini, cinta telah disalah erti sama ada yang muda mahupun tua. Golongan muda sibuk memberikan cintanya pada perkara-perkara yang boleh membawa ke kancah maksiat seperti hiburan dan kekasih hati. Manakala golongan tua pula sibuk mengumpulkan hartanya yang tercinta setinggi Gunung Everest dan seluas Lautan Pasifik. Nauzubillah.

Jika kita lihat filem Ketika Cinta Bertasbih, Ayatul Husna melahirkan pandangannya mengenai rasa cinta melalui sebuah puisi pendek tetapi penuh bermakna. Beliau menyatakan bahawa cinta dapat mengubah sesuatu yang negatif kepada positif seperti sedih kepada gembira, sengsara kepada bahagia, kedekut menjadi dermawan dan sakit kepada sihat. Itu lah kuasa cinta!Sesiapa yang tidak mempunyai pegangan yang kukuh pasti hanyut di dalam lautan cinta. Jadi kita perlu berusaha untuk  membina benteng-benteng pertahanan supaya tidak karam bersama cinta yang bukan pada haknya.

Pertama sekali kita perlu menanam rasa cinta kepada Allah s.w.t lebih dari segala-galanya. Selain itu, perbanyakkan perkara-perkara yang boleh meningkatkan keimanan kita seperti melakukan ibadat sunat yang berterusan disamping ibadat yang utama. Ini kerana dengan iman sahaja benteng pertahanan menjadi kukuh, tidak gentar dan tidak mudah terpengaruh dengan hasutan nafsu.

Cinta yang berlandaskan nafsu akan membawa kesengsaraan. Dapat kita lihat situasi ini pada cinta remaja zaman teknologi yang berlatarbelakangkan nasfu, dimana pengakhirannya pahit dan sengsara. Walaupun ada segelintir cinta seperti ini membawa ke jinjang pelamin, namun perjalanannya penuh dengan perkara-perkara yang membawa kemurkaan Allah s.w.t dan tidak diredhai.

Alasan yang biasa kita dengar mengapa bercinta adalah ikut kawan, saja suka-suka dan ada juga yang bercinta kerana dicabar. Inilah masalah remaja yang kita hadapi sekarang. Jiwa mereka kosong, tidak diisi dengan ilmu-ilmu agama. Adakah cinta ini yang kita pilih? Tepuk dada tanya iman.

Wanita sinonim dengan cinta, ini kerana wanita mudah jatuh cinta. Wanita dikurniakan sembilan nafsu dan satu akal, manakla lelaki pula dikurniakan sembilan akal satu nafsu. Tidak hairanlah kenapa wanita mudah jatuh cinta bukan sahaja kepada manusia malah pada semua yang terdapat di alam ini. Wanita juga sering menjadi mangsa cinta, walaupun terdapat sebahagian kaum lelaki yang menjadi mangsa tetapi peratusnya sedikit. Oleh yang demikian, berhati-hatilah.

Peliharalah cinta supaya tidak dinodai. Simpanlah ia ditempat paling selamat agar dapat diberi pada yang berhak. Semoga kita dapat meraih cintaNYA yang penuh dengan kebahagiaan dan memperoleh cinta insan yang mencintaiNYA dari segala-galanya. Hiasilah cinta anda dengan sulaman kemanisan iman.


Cinta itu cahaya sanubari
Kurniaan tuhan fitrah insani
Dan di mana terciptanya cinta
Di situ rindu bermula
Cinta itu tak pernah meminta
Tetapi memberi sepenuh rela
Rasa bahagia biarpun sengsara
Berkorban segala-gala
Semua kerana cinta
Yang pahit manis dirasa
Menghibur nestapa
Merawat duka
Damai di jiwa
Terpadamlah api benci permusuhan
Terjalinlah kasih sayang
 Begitulah cinta yang diidamkan tanpa nafsu yang mencemarkan
Dan jangan kita pula
Kerana bercinta kita pun leka
Dan jangan pula kerana bercinta
Tergadai semua maruah agama
Cinta yang sejati
Hanya cintakan Illahi
Cinta ayah bonda
Tulus suci selamanya
Cintakan saudara hanya sementara
Cinta sesama insan suburkanlah dengan ketakwaan

No comments:

Post a Comment